Sabtu, 16 September 2017

Kekalkan skuad sekarang



ARKIB : 29/01/2007

Oleh JOHARI SHAWAL

KANGAR – Bekas jurulatih kebangsaan, Abdul Rahman Ibrahim berkata, skuad bola sepak negara yang dibimbing Norizan Bakar ketika ini perlu dikekalkan kerana pasukan itu mampu pergi lebih jauh jika diberi perhatian secukupnya.

Katanya, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pula harus bersabar dan usah menurut kata hati dan desakan pihak luar dengan segera membubarkan satu-satu pasukan jika mereka gagal seperti yang pernah dilakukan pada masa lalu.

“Selepas melihat aksi pasukan ini sehingga kelmarin, mereka memang ada potensi besar untuk pergi ke peringkat lebih tinggi. Harapan saya tentulah supaya barisan yang ada di bawah kendalian Norizan ini terus dikekalkan.

“Kekalahan mereka kelmarin lebih disebabkan kerana mereka kurang serasi. Mereka ini tidak cukup pendedahan atau pengalaman bermain sesama sendiri. Ada antara mereka baru dua atau tiga minggu menyesuaikan diri antara satu sama lain.

“Keserasian dalam satu pasukan itu penting maka janganlah kerap menukar pemain dalam pasukan kerana faktor itulah yang menyebabkan kita tidak dapat membentuk satu pasukan yang benar-benar baik,” katanya.

Abdul Rahman yang kini membimbing pasukan Liga Super Perlis meminta FAM tidak berubah fikiran dalam usaha membentuk satu pasukan kebangsaan yang benar-benar baik.

“FAM janganlah terlalu mengikut desakan peminat, media massa atau pihak-pihak tertentu dengan mengikut kehendak mereka terus membubarkan satu-satu pasukan jika mereka gagal.

“Kalau pentadbiran nak tukar tidak apa tetapi janganlah pemikiran dan usaha untuk mencari satu pasukan kebangsaan yang baik turut berubah-ubah.

“Kalau kita terus dengan cara begini (bertukar-tukar pemain), sampai bila pun kita tidak akan mendapat satu pasukan yang baik,” katanya di sini, semalam.

Abdul Rahman pernah membimbing pasukan kebangsaan untuk tempoh dua tahun dari 1998 sebelum digantikan dengan jurulatih dari England, Allan Harris pada Disember, 2000.

Beberapa pemain kendalian Norizan ketika ini pernah menjadi pemain utama pasukan kebangsaan bimbingan Abdul Rahman ketika itu

termasuk penyerang, Hairuddin Omar dan Nizaruddin Yusoff.

“Dua pemain ini sudah bermain untuk negara semasa di bawah kendalian saya tetapi kemudian mereka digugurkan sebelum Norizan kembali mengambil mereka. Jadi di sini nampak jelas kita sebenarnya tiada pemain dan mereka juga yang kita harapkan.

“Disebabkan kita kurang pemain maka pemain yang ada ini perlukan digilap terus dan diberi pendedahan untuk satu tempoh yang panjang. Dari situlah kita akan mendapat keserasian antara pemain,” kata Rahman.

Menurut jurulatih Perlis itu, pasukan Norizan perlu bermain sekurang-kurangnya dalam 20 perlawanan untuk mendapat keserasian antara pemain.

Malaysia sekali lagi gagal mara ke perlawanan akhir Kejohanan ASEAN atau dulunya dikenali Piala Tiger selepas tumpas kepada Singapura pada babak separuh akhir kedua di Stadium Nasional Singapura, kelmarin.

Skuad negara tewas menerusi sepakan penalti 5-4 selepas masa penuh di Stadium Nasional Singapura terikat 1-1 kelmarin untuk menjadikan agregat 2-2 selepas separuh akhir pertama di Stadium Shah Alam Rabu lepas juga terikat 1-1.

Pencapaian terbaik Malaysia dalam kejohanan ini ialah pada edisi sulung pada 1996 di Singapura. Malaysia yang dikendalikan oleh jurulatih, Wan Jamak Wan Hassan ketika itu muncul naib juara setelah tumpas kepada Thailand pada perlawanan akhir.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4spb9xJHX
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan