Sabtu, 9 September 2017

B20 lebih baik ke Eropah -- Beraksi di luar negara untuk mantapkan anak didik K. Rajagopal



ARKIB : 04/11/2006

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

KUALA LUMPUR - Tanpa niat untuk menyanggah hasrat memasukkan skuad Bawah 20 Tahun negara ke Liga Malaysia, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar sebaliknya menyarankan mereka supaya dihantar menimba ilmu dan pengalaman di Eropah.

Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turut mengalu-alukan hasrat Setiausaha Agung, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad, Rabu lalu tetapi menganggap beraksi di luar negara lebih baik dalam mematangkan dan memantapkan anak didik K. Rajagopal.

Kata Raja Ahmad, mutu permainan bola sepak skuad yang kini bertanding pada Kejohanan Belia Asia di Bangalore itu juga akan jauh lebih meningkat sekiranya diasuh di Eropah umpamanya berbanding Liga M.

“Cadangan itu bagus demi kepentingan pasukan kebangsaan tetapi bukan bagi musim 2006-2007 Disember ini kerana sudah terlalu suntuk. Malah undian liga telah ditetapkan pada 12 November ini.

“Musim satu lagi mungkin boleh mereka masuk. Tapi kalau hendak meningkat, lebih baik main di luar. Jika bermasalah, Singapura dan Thailand pun masih sesuai untuk pendedahan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Jelasnya, FAM mungkin boleh menghantar segelintir pemain yang terpilih untuk berlatih dengan kelab Eropah sahaja mendapati, sebuah pasukan mungkin menyulitkannya dari segi kewangan.

“Di sana, mereka boleh belajar bermain dengan lebih baik terutama dari segi skil tetapi masih boleh dipanggil pulang untuk menghadapi sesebuah kejohanan antarabangsa asalkan kita tidak gaulkan dengan aksi Liga M,” katanya.

Raja Ahmad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, mengulas kenyataan Ibrahim di Bangalore untuk memanjangkan cadangan itu ke peringkat Majlis sebagaimana skuad Olimpik 2000 menyertai Liga M pada akhir 90 an.

Ibrahim menyifatkan skuad masa depan yang sudah tersingkir daripada Kejohanan Asia itu kerana ditewaskan Vietnam dan Arab Saudi, mampu dipertaruhkan lagi dalam menghadapi

Sukan Sea 2007 dan 2009, Kelayakan Olimpik 2008, Piala Asia serta Sukan Asia 2010.

Menurut Raja Ahmad, apa juga cadangan untuk kebaikan pasukan itu masih perlu dirundingkan dengan negeri yang mungkin telah mendaftarkan pemainnya bagi menghadapi Liga Super dan Perdana, Disember ini.

Katanya, skuad Bawah 20 Tahun juga boleh dipertaruhkan lagi ke Piala Singapura (persaingan kalah mati) selepas FAM terus mengundang Young Lions atau Bawah 23 republik itu ke Piala FA buat kali kedua selepas musim 2005.

Young Lions bimbingan Fandi Ahmad ini mara sehingga separuh akhir Piala FA manakala anak didik Rajagopal terkandas pada pusingan awal Piala Singapura, April lalu setelah tewas 3-5 kepada kelab Balestier Khalsa.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2006&dt=1104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4sBA8bd98
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan