ARKIB : 01/03/2007
Malaysia bermula hambar
PENYERANG Syria, Mohamed Ebrhim
menanduk masuk gol pertama melepasi jangkauan penjaga gol Malaysia, Nasril
Nourdin sambil diperhatikan oleh Sabri Mat Abu pada perlawanan Kumpulan B
kelayakan Olimpik di Stadium Al-Abasseen, Damsyik, semalam. Syria menang 3-1.
AP.
KUALA LUMPUR Dua kesilapan
mudah dan jaringan hatrik Mohamed Ebrhim melengkapkan permulaan hambar buat
Malaysia yang tewas 3-1 kepada Syria dalam perlawanan bola sepak Kumpulan B
Kelayakan Olimpik di Stadium Al-Abasseen, Damsyik, semalam.
Gara-gara cuba meluru keluar
dari kawasan penalti ketika menangkis asakan ketua pasukan Syria, penjaga gol
negara, Nasril Nourdin tertinggal Ebrhim yang hanya berseorangan untuk menanduk
mudah gol sulung tuan rumah pada minit ke-41.
Sepakan ketua pasukan Malaysia,
Ahmad Azlan Zainal yang tertampan kaki Ebrhim dari luar kotak penalti pada
minit ke-51 pula membolehkan penyerang utama tuan rumah merampas bola sebelum
menewaskan Nasril buat kali kedua.
Malaysia dan Nasril terus
merana apabila Ebrhim melengkapkan hatriknya dengan satu rembatan kencang kaki
kanan hasil umpanan lambung dari sebelah kiri pada minit ke-60 untuk membawa
Syria mendahului 3-0
Sekalipun ketinggalan, semangat
juang anak didik B. Sathianathan ternyata masih kental untuk merapatkan jurang
gol 1-3 apabila Azril Hamid pada minit ke-63, berjaya menyudahkan umpanan oleh
Safiq Rahim yang melepasi jerat ofsaid Syria dari sebelah kiri.
Skuad negara menurunkan Nasril
di pintu gol, Ahmad Azlan, Aidil Zafuan Razak, S. Subramaniam dan Sabri Mat Abu
di barisan belakang sementara Amerul Hadi Zainal, Syamsol Sabtu, Daudsu
Jamaluddin dan Khyril mewakili bahagian tengah.
Sathianathan turut membuat
kejutan dengan menyandarkan harapan kepada Azril dan Azrul Ahmad selaku
penyerang dan meletakkan dua pemain skuad senior negara, Samransak Kram dan
Safiq Rahim di bangku simpanan.
Ketika Syria tidak banyak
mencipta peluang berbahaya, Malaysia bagaimanapun memperoleh lima sepakan sudut
dan pada percubaan keduanya dari sebelah kanan, Azrul nyaris mengejutkan lawan
dengan gol pendahuluan setelah tandukannya tersasar tinggi pada minit ke-15.
Minit ke-39 pula menyaksikan
anak didik Sathianathan sekali lagi berpeluang untuk mendahului tetapi hanya
tampanan seorang pemain tuan rumah mengekang sepakan Amirul Hadi yang sempat
mencerobohi kotak penalti lawan.
Tiga minit selepas waktu rehat,
Ahmad Azlan pula sekadar menanduk tinggi bola sepakan bebas Amirul biarpun
mempunyai kedudukan yang terbuka sementara Azriel turut menyepak liar hasil
satu lagi sepakan sudut Malaysia, kira-kira 10 minit kemudian.
Hanya selepas menerima tekanan
akibat kedua-dua gol mudah itu, barulah Sathianathan memasukkan Samransak bagi
menggantikan Daudsu manakala Safiq, seorang lagi pemain senior negara dalam
Kejohanan AFF, Januari lalu, mengambil alih tempat Azrul.
Tugas Malaysia bakal bertambah
berat selepas ini apabila menentang Jepun di Stadium Petaling Jaya pada 14 Mac
ini. Skuad negara Matahari Terbit itu menumpaskan Hong Kong 3-0 dalam satu lagi
perlawanan di Tokyo.
SYRIA... 3
Mohamed Ebrhim (m-41, 51, 60)
MALAYSIA...1
Azril Hamid (m-63)
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2007&dt=0301&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz4tKsCn1eh
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan