Khamis, 31 Mac 2016

Safiq janji kawal emosi

ARKIB : 01/12/2010
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
 
Safiq Rahim di layangkan kad merah oleh pengadil, Ben Williams semasa perlawanan bolasepak peringkat kumpulan antara Malaysia dengan China pada Sukan Asia 2010 di Stadium Tianhe, Guangzhou, China, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR - ''Selaku ketua pasukan, saya berjanji akan cuba mengawal emosi saya pada perlawanan berdepan Indonesia dan berharap tragedi di Guangzhou, China tidak akan berulang''.

Itu azam ketua pasukan Malaysia, Safiq Rahim sebelum turun berjuang bertemu Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno pada perlawanan pembukaan Piala Suzuki AFF, hari ini.

Walaupun Safiq wajar tidak dipersalahkan atas insiden kad merah ketika berdepan dengan China, pemain tengah Selangor itu mengakui ketika berdepan dengan skuad tuan rumah, pelbagai keputusan kontroversi boleh dilakukan oleh pengadil kerana berdepan tekanan penyokong.

Justeru itu, Safiq yang akan memakai lilitan kapten sekali lagi berazam akan bersikap lebih tenang jika berhadapan situasi tegang supaya tidak menjejaskan tumpuan pasukan dan perancangan taktikal jurulatih.

''Apa yang paling penting buat saya selaku ketua pasukan, saya perlu memperkuatkan mental dan tidak hilang konsentrasi supaya kami semua boleh beraksi sebagai satu unit esok (hari ini),

''Bertemu Indonesia, kami semua tahu tiada layanan istimewa akan diberikan oleh para penyokongnya kerana mereka semua sudah tentu mengenakan tekanan berganda semasa kami sedang memegang bola.

''Saya akan memberikan peringatan kepada rakan-rakan agar menumpukan taktikal permainan dan tidak menghiraukan segala cemuhan atau ejekan para penyokong Indonesia, apa yang penting adalah mengutip kemenangan pada perlawanan pertama, '' jelasnya bersemangat.

Pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan A di Sukan Asia, Safiq Rahim menjadi mangsa mutu pengadilan yang lemah oleh pengadil Australia, Ben Williams. Dia dibuang padang selepas bertanyakan pengadil mengenai pemberian kad merah kepada seorang lagi pemain, Mahalli Jasuli.

Selain itu, Safiq secara jujur mengakui motivasinya kini adalah mahu mencipta sejarah membantu Malaysia membawa pulang trofi Piala Suzuki AFF buat kali pertama dalam sejarah penganjuran 14 tahun lalu.

''Tiada apa yang mustahil, jika tahun lalu kami semua menidakkan ramalan semua pihak dengan membawa pulang pingat emas di Sukan SEA Laos selepas 20 tahun, kali ini kami semua mahu mencipta satu lagi sejarah baru dalam arena bola sepak negara.

''Tiada tekanan buat saya dan rakan-rakan, walaupun tahu Thailand dan Indonesia merupakan pasukan pilihan dalam kumpulan ini kerana kami tahu bagaimana tahap kekuatan sebenar pasukan ini mampu menewaskan kedua-dua pasukan itu.

''Sasaran pertama adalah membawa Malaysia ke separuh akhir terlebih dahulu dan beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil yang mana para peminat skuad negara boleh turun memberi sokongan padu kepada kami, '' ujarnya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1201&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz44Sf7XbOo © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan