Isnin, 21 Mac 2016

‘Kami akan cuba yang terdaya’

Harimau Malaysia mahu ketepikan segala kekangan hadapi Arab Saudi 
MOHAMMAD ROZAIDI ZULKIFLI  |  21 Mac 2016 12:35 AM
 Skuad bola sepak kebangsaan merlepas Jeddah di KLIA, Sepang semalam
Skuad bola sepak kebangsaan merlepas Jeddah di KLIA, Sepang semalam untuk menghadapi perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 menentang Arab Saudi, Jumaat ini. Utusan/SHIDDIEQIIN ZON
KUALA LUMPUR - Kegagalan mengumpulkan pasukan penuh dalam persiapan menghadapi Arab Saudi pada aksi kelayakan Kumpulan A Piala Dunia/Piala Asia membuatkan jurulatih Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee hanya mampu berdoa pasukannya masih dapat memberi persembahan terbaik, Jumaat ini.

Sembilan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), yang sebahagian besarnya adalah tonggak utama pasukan hanya melaporkan diri awal pagi semalam untuk melengkapkan senarai 23 pemain yang kemudian berlepas ke Jeddah pada hari yang sama.

Harimau Malaysia memulakan latihan pertama pada 14 Mac lalu dengan hanya disertai tujuh pemain iaitu tiga dari Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat, Wan Zack Haikal Wan Nor serta Brendan Gan, tiga dari Terengganu Joseph Kalang Tie, Yong Kuong Yong dan Norshahrul Idlan Talaha serta Matthew Davies dari Pahang.

Mereka kemudian disertai pemain empat pemain Selangor Muhammad Shahrom, Mohd. Hafiz Kamal, Muhammad Nazmi Faiz Mansor dan Mohd. Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham pada 17 Mac, disusuli Baddrol Bakhtiar, Mohd. Farhan Abu Bakar dan Muhammad Amirul Hisyam Awang Kechik dari Kedah selang dua hari kemudian.

Sembilan pemain JDT dan seorang pemain Perak, Shahrul Mohd. Saad hanya melapor diri awal pagi semalam ekoran mempunyai tugasan bersama kelab masing-masing.

“Dengan segala kekurangan yang dihadapi (kesukaran mengumpulkan pemain), sebolehnya saya tidak mahu menjadikan ia sebagai alasan untuk Malaysia tidak memberi aksi terbaik dalam perlawanan itu.

“Kita akan cuba yang terbaik dan berharap pasukan ini dapat mempamerkan segala yang termampu untuk menyaingi Arab Saudi,” kata Kim Swee ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semalam sebelum berlepas ke Jeddah.

Bagaimanapun kata Kim Swee, apa yang positifnya, beliau tidak lagi berdepan masalah kecederaan dan semua 23 pemain yang dibawa ke Jeddah cergas untuk diturunkan, biarpun mereka sedikit keletihan.

“Kita tidak lagi hadapi masalah kecederaan pemain, namun kita tahu mereka masih keletihan selepas mengharungi saingan Piala FA bersama pasukan yang diwa­kili, terutama pemain daripada JDT, Kedah dan Perak.

“Kita sedar Arab Saudi adalah pasukan yang cukup kuat tetapi saya harap pemain dapat mengikut segala perancangan.

“Saya harap mereka kekal fokus sepanjang perlawanan seperti yang ditunjukkan ketika kita tewas tipis 2-1 di Shah Alam (8 September 2015) dan 2-1 kepada UAE (Emiriyah Arab Bersatu) juga di Shah Alam (17 November 2015),” katanya.

Dalam perlawanan pertama menentang Arab Saudi, Harimau Malaysia ketinggalan 1-2 sebelum perlawanan terpaksa dihentikan apabila segelintir penonton membuat kecoh pada minit ke-88.

Ekoran kejadian itu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) didenda sebanyak 40,000 Swiss francs (kira-kira RM180,000) dan pasukan negara mengharungi satu perlawanan tanpa penonton, selain kemenangan 3-0 diberikan kepada Arab Saudi oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

- Sumber: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/8216-kami-akan-cuba-yang-terdaya-8217-1.202774#sthash.Y6XDMpK0.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan