Jumaat, 11 Mac 2016

Skuad masa depan Kim Swee uji Arab Saudi

 myMetro
Kuala Lumpur: Jurulatih Harimau Malaysia Datuk Ong Kim Swee sudah bersedia membina skuad masa depan bermula dengan memanggil hampir separuh pemain berusia bawah 25 tahun bagi menghadapi Arab Saudi dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Jeddah, pada 24 Mac ini.

Pengendali berusia 45 tahun itu dijangka mengumumkan senarai 23 pemain hari ini bagi mengikuti kem latihan pusat Isnin depan dan beliau mahu proses transisi pemain dilakukan secara berperingkat.


“Hampir 9 hingga 10 pemain berusia bawah 25 tahun akan dipanggil bersama pasukan kali ini. Ini proses permulaan untuk saya membentuk pasukan masa depan kerana saya tidak boleh melakukan transisi pemain secara drastik.

“Purata umur pemain adalah 26-27 tahun bagi pasukan kali ini dan biarpun saya mahu lebih memberi ruang kepada pemain muda itu tidak bermakna pemain senior yang mempamerkan aksi konsisten bersama pasukan atau kelab dalam saingan domestik akan diketepikan.

“Saya percaya pemain yang dipanggil ini adalah pemain yang layak mewakili skuad kebangsaan,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Aksi pertama menentang Arab Saudi adalah ujian pertama Kim Swee sejak dilantik sebagai pengendali Harimau Malaysia menggantikan Dollah Salleh yang meletakkan jawatan September lalu.

Selain Arab Saudi, Harimau Malaysia turut mengharungi perlawanan persahabatan dengan Macau di Stadium Hang Jebat Melaka pada 29 Mac ini.

“Saya akan memberi peluang sama rata kepada semua pemain baik pemain muda atau senior jadi terpulang kepada mereka untuk membuktikan dalam perlawanan itu nanti,” kata Kim Swee.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Mac 2016 @ 9:04 AM

- SUMBER: http://www.hmetro.com.my/node/121961#sthash.bzjPNR3t.dpuf

Tiada ulasan:

Catat Ulasan