Jumaat, 11 Mac 2016

‘Pemain Harimau Selatan sandaran Harimau Malaysia’

 Oleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI
 
SAFIQ (tengah) yang berpengalaman mengemudi Johor DT di peringkat Asia menjadi taruhan Kim Swee dalam skuad kebangsaan menentang Arab Saudi di Jeddah 23 Mac ini.

JURULATIH Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee menyifatkan kekuatan pengalaman barisan pemain Johor Darul Takzim (Johor DT) akan memberikan manfaat penting kepada skuad kebangsaan menjelang pertemuan dengan Arab Saudi bagi aksi kelayakan terakhir Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019 di Jeddah pada 23 Mac ini.

Bukan mahu menidakkan ke­upayaan pemain-pemain pasukan lain sebaliknya Kim Swee me­n­gakui bahawa pemain skuad Harimau Selatan kini mempamerkan peningkatan tersendiri terutama dalam kempen Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2016.

Musim ini, Johor DT selaku juara bertahan Piala AFC, membuktikan reputasi sebagai kelab gergasi Malaysia apabila membelasah wakil Myanmar, Ayeyawady United 8-1 dan berjaya menewaskan Bengaluru FC 1-0 di India, sekali gus menunjukkan pasukan yang diketuai Safiq Rahim kini berada di dalam kelas tersendiri.

Menurut Kim Swee, beliau berharap barisan pemain Harimau Selatan dapat berkongsi pengalaman serta mendapatkan keyakinan tinggi ketika berdepan Arab Saudi sebagaimana skuad kebangsaan sering menjadi ‘mangsa belasahan’ ketika berdepan pasukan dari Timur Tengah.

Sebagai rekod, skuad Harimau Malaysia diaibkan dengan kekalahan 0-10 dan dua kali tewas 0-6 kepada Palestin di Stadium Nasional Bukit Jalil dan di Jordan dalam kempen Kumpulan A kelayakan Piala Dunia 2018 dan Piala Asia 2019.

“Tidak dapat dinafikan, mereka (barisan pemain Johor DT) adalah tulang belakang skuad kebangsaan ketika ini. Bukan mahu memperkecilkan mana-mana pemain tetapi mereka sudah bermain di peringkat tertinggi.

“Apabila kita akan bertemu Arab Saudi, saya berharap pemain-pemain dapat melupakan ‘fobia’ berdepan pasukan dari Timur Tengah. Jadi, saya berharap mereka dapat berkongsi untuk mendapatkan keyakinan ketika berdepan Arab Saudi nanti.

“Apa pun, bola sepak mengamalkan semangat berpasukan. Saya berharap mereka dapat melakukan dengan me­ngubah mentaliti dan karakter yang mana kita perlu lebih fokus dan disiplin nanti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Tambah Kim Swee, beliau enggan memandang mudah aksi terakhir kelayakan tersebut meskipun menyedari peluang sudah tertutup buat skuad kebangsaan untuk layak ke pusingan akhir Piala Dunia 2018.

“Bukan senang untuk bermain dengan Arab Saudi. Cabarannya cukup kuat apatah lagi kita beraksi di gelanggang lawan. Bagaimanapun, kami tetap mahu mempertahankan maruah walaupun sudah tidak layak ke pusingan akhir.

“Kali ini saya menyenaraikan 25 pemain campuran senior dan junior yang mana ada sembilan atau 10 pemain berusia 25 tahun. Kini, ia terpulang kepada mereka untuk menunjukkan sesuatu kepada pa­sukan dan saya berharap mereka dapat memberikan yang terbaik,” katanya.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0312&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz42duhBec6 Hakcipta terpelihara

Tiada ulasan:

Catat Ulasan