Selasa, 22 Mac 2016

Idam robek gawang Arab

Saiful Affendy Sapran -saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Meskipun tampak sukar menembusi benteng pertahanan Arab Saudi, penyerang Harimau Malaysia Amri Yahyah (gambar) tetap menyimpan hasrat meledak gol pada perlawanan kempen Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Jeddah, Khamis ini.

Selepas tujuh perlawanan, skuad negara dilihat buntu meledak jaringan apabila hanya menjaringkan gol tiga.

Justeru, Amri yang juga antara tonggak Johor Darul Ta’zim (Johor DT) percaya sekiranya dia serta rakan sepasukan mempamerkan usaha berlipat ganda, peluang menjaringkan gol tetap cerah.

“Bagi saya, kami semua perlu lebih berusaha menjaringkan gol. Saya sendiri berharap dapat jaringkan gol dan menyumbang sesuatu kepada pasukan,” katanya.

Mengenai tahap keyakinan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee selepas senarai penuh 23 pemain hanya dapat dikumpulkan kelmarin, Amri berkata, segala-galanya terpulang kepada setiap pemain.

“Berapa tinggi keyakinan kita apabila bertemu Arab Saudi semuanya terpulang kepada pemain. Bagi saya, jika keinginan tinggi, maka kita pasti boleh mengharungi tugas mencabar ini.

“Tanpa keyakinan, memang kita tidak boleh buat apa-apa. Tapi saya percaya dengan usaha dan komitmen semua pemain, apa saja boleh berlaku nanti.

“Mungkin juga kami boleh lakukan kejutan,” katanya.

Walaupun Malaysia sudah tersingkir untuk buruan tiket ke Piala Dunia selepas sekadar meraih empat mata daripada tujuh perlawanan, skuad negara masih berpeluang beraksi pada pusingan kelayakan ketiga Piala Asia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2016 @ 8:13 AM

- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/124506#sthash.J8MwkdDU.dpuf


Tiada ulasan:

Catat Ulasan