Jumaat, 25 Mac 2016

Kim Swee puas hati prestasi Harimau Malaysia

25 MAC 2016
Ong Kim Swee
Ong Kim Swee Ong Kim Swee
KETUA jurulatih skuad bola sepak kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee berpuas hati dengan prestasi Harimau Malaysia walaupun tewas 0-2 kepada gergasi Asia Barat, Arab Saudi pada aksi terakhir Kumpulan A Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium King Abdullah Sports City, Jeddah, Arab Saudi, awal pagi ini.

Jurulatih kelahiran Melaka itu berkata beliau menghimpunkan kesemua 23 pemain sebagai satu pasukan pada Isnin, dan menambah semua pemain menjalani sesi pemulihan dalam tiga hari lepas untuk mengembalikan semula kecergasan selepas mengharungi perlawanan yang padat dalam Liga Malaysia.
"Seperti yang anda lihat, Arab Saudi menguasai permainan tetapi pemain kami mempamerkan prestasi yang baik dari segi pertahanan dan menyukarkan Arab Saudi (untuk menjaringkan gol) dan akhirnya, saya tidak boleh meminta lebih daripada mereka.

"Saya juga berharap kami dapat belajar daripada kekalahan ini terutama menentang pasukan negara Timur Tengah dan Asia Barat seperti Emiriah Arab Bersatu, Palestin dan Arab Saudi," Kim Swee berkata dalam sidang media selepas perlawanan itu.

Jabatan Media Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyediakan audio sidang media itu.

Tuan rumah memperoleh gol mereka melalui Mohammed Al Sahlawi pada minit  ke-50 dan Taiseer Al Jassam pada minit ke-73.

Kim Swee dalam pada itu berkata keputusan memasukkan pemain pertahanan yang sering menghadapi masalah kecederaan Aidil Zafuan Abdul Radzak, dibuat selepas pemain itu mengesahkan cergas untuk bermain.

"Saya tidak mahu mengambil risiko...saya telah mendapatkan pandangan doktor pasukan. Jika pemain tidak cergas, saya tidak akan benarkan. Bagi saya, Aidil adalah pemain penting bagi kami," katanya.

 Kekalahan itu menyaksikan Malaysia perlu menempuhi aksi play-off ke pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2019 manakala gergasi Asia Barat itu layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2018.

Skuad itu dijangka pulang lewat hari ini sebelum menuju ke Melaka untuk perlawanan persahabatan menentang Macau di Stadium Hang Jebat pada 29 Mac.- Bernama

SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 25.3.2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan