Jumaat, 4 Mac 2016

Harimau Malaysia kini ranking ke-166 dunia

KHAMIS, 3 MAC 2016 @ 10:23 PM

Oleh Helmi Talkah helmi.talkah@bh.com.my KUALA LUMPUR: Walaupun tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif sejak tewas 1-2 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019, 17 November lalu, ranking skuad Harimau Malaysia melonjak lima anak tangga ke-166 dunia.

Ranking terbaharu dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), hari ini, Malaysia yang dibimbing Datuk Ong Kim Swee mengumpul 129 mata, sekali gus memperbaiki kedudukan sebelum ini di tangga ke-171 dunia. Kedudukan terbaharu itu sudah pastinya sedikit sebanyak melegakan Kim Swee kerana antara salah tugas utamanya adalah memastikan Malaysia berada dalam kelompok 140 dunia dalam tempoh dua tahun sejak dilantik menjadi pengendali tetap Harimau Malaya, Januari lalu.


Anak buah Kim Swee berpeluang untuk memperbaiki kedudukan itu andai mencatat keputusan positif pada pertemuan dengan Arab Saudi dalam aksi terakhir Kumpulan A kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium King Abdullah, Jeddah, 24 Mac ini dan menentang Macau dalam aksi persahabatan di Stadium Hang Jebat Melaka empat hari kemudian. Dalam ranking Asia, Malaysia menduduki tangga ke-32, dengan Iran gah di kedudukan teratas diikuti Jepun, Korea Selatan dan Arab Saudi. Belgium pula kekal di ranking pertama dunia mengatasi Argentina (kedua), Sepanyol (ketiga) dan juara Piala Dunia 2014 Jerman (keempat).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan