Rabu, 30 Jun 2021

Gol Supermokh diiktiraf Fifa

Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my



Mokhtar cukup digeruni ketika eranya. FOTO File NSTP

Kuala Lumpur: "Tiap-tiap pemain harus mempunyai semangat yang tinggi dan harus memikirkan yang mereka ini mewakili negara dan sekiranya apa terjadi nama negara akan terjejas".

Itu antara nasihat dan pesanan yang pernah ditinggal legenda bola sepak negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari buat pemain-pemain kebangsaan agar sentiasa menyematkan semangat cintakan negara setiap kali menyarung jersi Malaysia.

Mokhtar antara penyerang terbaik di Asia menitipkan pesanan itu menerusi satu rakaman video pada tahun 1987 yang kini kembali tular di media sosial.

Menerusi video selama 30 saat itu, Allahyarham berkongsi tips bagaimana beliau berjaya memberikan aksi terbaik setiap kali turun beraksi bersama skuad Harimau Malaya.

Katanya, semangat dan keinginan tinggi untuk mengharumkan negara adalah penyebab mengapa beliau sering berjaya mengatasi pertahanan lawan sekali gus menjaringkan gol.

"Tiap tiap pemain harus mempunyai semangat yang tinggi dan harus memikirkan yang mereka ini mewakili negara dan sekiranya apa terjadi nama negara akan terjejas"

"Dan saya rasa dengan semangat itu lah, dan berpegang pada pedoman itu, maka saya selalu dapat mengatasi pihak-pihak lawan saya," katanya.

Lantas, nasihat berkenaan boleh dijadikan panduan buat pemain-pemain negara ketika ini yang dikritik hebat sebelum ini ekoran aksi longlai di kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) Mei lalu.

Pasukan negara bimbingan Tan Cheng Hoe sekadar menamatkan aksi kelayakan di tempat ketiga Kumpulan G di belakang UAE dan Vietnam.

Untuk rekod, Mokhtar atau turut dikenali dengan gelaran Super Mokh muncul antara tiga penjaring terbanyak sepanjang zaman dan ia diiktiraf Fifa.Badan induk dunia itu mengesahkan Mokhtar meledak 89 gol antarabangsa bersama skuad Harimau Malaya sepanjang kariernya dari 1972-1985.

Berdasarkan rekod terbabit, Mokhtar berjaya memintas pencapaian legenda bola sepak Hungary, Ferenc Puskas yang menjaringkan 84 gol dalam 85 penampilan.Pendahulu senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman kini dikongsi pemain Iran, Ali Daei dan Cristiano Ronaldo dari Portugal yang meledak 109 gol.

Disiarkan pada: Jun 30, 2021 @ 7:44pm.1

_______________________________________

Tiada ulasan:

Catat Ulasan