Sabtu, 12 Jun 2021

Macam ni penalti...?

Syazwan Msar

mohdsyazwan@hmetro.com.my



VAN Toan (kiri) bijak menjatuhkan diri untuk memperoleh sepakan penalti.

Kuala Lumpur: Sepakan penalti yang dihadiahkan pengadil Jepun, Ryuji Sato kepada Vietnam pada 10 minit terakhir hingga menyebabkan Malaysia tumbang 1-2 pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, awal pagi semalam mengundang perdebatan hangat di antara peminat kedua-dua negara.

Kebanyakan peminat Harimau Malaya berpendapat pemain tengah negara, Brendan Gan langsung tidak menyentuh pemain Vietnam, Nguyen Van Toan dalam kawasan kotak penalti Malaysia, tapi disangkal kem Vietnam.

Pertikaian itu timbul berikutan sudut pandangan kamera insiden berkenaan gagal menunjukkan bukti jelas.

Bagaimanapun, bekas pemain kebangsaan Datuk Jamal Nasir Ismail berpendapat berlaku sentuhan tapi pemain Vietnam itu bijak berlakon untuk mempengaruhi pengadil.

Katanya, reaksi Brendan yang tidak membuat bantahan seolah mengakui kesalahannya mengasari pemain Vietnam dalam kawasan kotak penalti Malaysia.

Jamal Nasir berkata, walaupun perit untuk menerima keputusan berkenaan, Van Toan sememangnya pandai bersandiwara dengan jatuh berlebihan hingga mendorong Sato memberikan sepakan penalti.

Menurutnya, situasi berkenaan sememangnya ditunggu oleh pemain Vietnam terutama pada waktu 'kritikal' dalam usaha memastikan kemenangan berpihak kepada skuad Naga Emas.

"Suka atau tidak dan juga ada perasaan bengang namun hakikatnya apa yang saya boleh katakan ada sentuhan hingga mendorong pemain Vietnam menggunakan kesempatan itu untuk mendapatkan sepakan penalti.

"Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, skuad Harimau Malaya agak goyah apabila permainan menuju 10 minit terakhir dengan sering melakukan kesalahan atau memberi ruang atau peluang kepada lawan melancarkan serangan bertali arus.

"Ketika lawan Emiriah Arab Bersatu (UAE) juga dilihat mereka menyumbat gol pada minit terakhir perlawanan apabila rata-rata pemain Malaysia sudah hilang arah," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, laman Instagram milik Sato diserang ' bawang rangers' apabila tidak sampai sejam perlawanan Harimau Malaya menentang Vietnam berakhir dihujani beribu komen negatif.

Hal ini kerana rata-rata penyokong Harimau Malaya tidak berpuas hati pengadil terbabit menghadiahkan sepakan penalti kepada Vietnam ketika perlawanan berbaki 10 minit menyebabkan pasukan kebangsaan gagal membawa pulang sebarang mata. Kekalahan itu menyaksikan laluan skuad Harimau Malaya ke pusingan seterusnya kelayakan Piala Dunia 2022 tertutup dan kini wajib menang ke atas Thailand dalam aksi terakhir untuk layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023.

Disiarkan pada: Jun 13, 2021 @ 7:01am

Tiada ulasan:

Catat Ulasan