SUKAN
SYAHMI (kiri) sedia menampilkan aksi terbaik sekiranyan diberi peluang dalam kesebelasan utama Harimau Malaya menentang Thailand pada aksi terakhir Kumpulan G di Stadium Al Maktoum, Dubai tengah malam ini.
Kieran Trippier akan jadi inspirasi Syahmi
Oleh MUHAMAD ARDIE PUTRA SUHAIMI
15 Jun 2021, 10:20 am
PEMAIN serba boleh skuad kebangsaan, Syahmi Safari mahu mengambil inspirasi pemain antarabangsa, Kieran Trippier sekiranya diberi peluang untuk beraksi di posisi bek kiri pada pertemuan menentang Thailand tengah malam ini.
Sebagai rekod, Syahmi kemungkinan diberikan peranan penting oleh ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe untuk mengisi kekosongan di pertahanan kiri selepas pemain utama, La’Vere Corbin-Ong tidak dapat beraksi ekoran digantung satu perlawanan.
Kata Syahmi, beraksi di mana-mana posisi bukanlah menjadi masalah buatnya kerana sudah menjadi lumrah pemain bola sepak moden untuk mengikuti setiap arahan dan tanggungjawab yang diberikan oleh jurulatih.
“Secara jujur, saya tidak kisah jika diletakkan di posisi bek kiri dalam kesebelasan utama kerana sudah berlatih di posisi itu pada kem latihan pusat sejak bulan lalu lagi.
“Malah, perbezaan bek kiri dan bek kanan tidak terlalu ketara dan kita boleh lihat beberapa pemain antarabangsa dapat menguasai kedua-dua posisi ini dengan baik.
“Sebagai contoh, pemain pertahanan England, Trippier turut diletakkan di bek kiri berbanding posisi kegemarannya (bek kanan) pada aksi menentang Croatia kelmarin.
“Apa yang penting, saya perlu membalas kepercayaan jurulatih kerana sudi memanggil saya dalam skuad kebangsaan meskipun masih ada ramai pemain bek kiri di Liga Malaysia yang baik selain ketika prestasi saya bersama Selangor FC juga agak tidak konsisten,” katanya pada sidang akhbar virtual semalam.
Sementara itu, Syahmi juga harap dapat membantu pasukan menebus maruah pada aksi terakhir peringkat kumpulan G menentang Thailand, sekali gus melupakan empat kekalahan berturut-turut yang dialami sebelum ini.
“Saya harap kami dapat meraih keputusan positif menentang Thailand agar perlawanan antarabangsa akan datang, skuad Harimau Malaya dapat tampil lebih bersemangat,” kata pemain berusia 23 tahun ini.1
___________________________________________
Tiada ulasan:
Catat Ulasan