Ahad, 13 Jun 2021

Yusof rasa ada sentuhan daripada Brendan

Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my



BRENDAN dikatakan menjatuhkan Van Toan sehingga membolehkan Vietnam meraih penalti. FOTO Ihsan Persatuan Bolasepak Malaysia

Kuala Lumpur: Tindakan pemain tengah Harimau Malaya, Brendan Gan yang tidak mempersoalkan keputusan pengadil ketika memberikan sepakan penalti kepada Vietnam boleh dianggap sebagai keputusan tepat.

Jelas pengurus pasukan negara, Datuk Mohd Yusoff Mahadi, tindakan Brendan yang hanya duduk dan tidak membantah menunjukkan seolah memang wujud sentuhan daripadanya ke atas penyerang Vietnam.

"Ada yang kata bahawa ia bukan penalti. Pada saya sendiri, kalau tengok kepada Brendan selepas pengadil memberikan penalti itu dia duduk. Maknanya pada saya memang ada sentuhan daripada Brendan.

"Sama ada sentuhan itu menjadikan satu penalti atau tidak saya tak boleh komen. Tapi dari segi reaksi Brendan yang duduk selepas pengadil memberikan penalti, ia menunjukkan dia sedar yang dia ada melakukan kesalahan," katanya dalam sidang media semalam.

Kelmarin, sepakan penalti yang dihadiahkan pengadil Jepun, Ryuji Sato kepada Vietnam di 10 minit terakhir hingga menyebabkan Malaysia tumbang 1-2 dalam aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, mengundang perdebatan hangat peminat tempatan.

Kebanyakan peminat Harimau Malaya berpendapat pemain tengah negara, Brendan Gan langsung tidak menyentuh pemain Vietnam, Nguyen Van Toan dalam kawasan kotak penalti Malaysia.

Menerusi satu sisi ulang tayang di televisyen, Brendan jelas tidak menyentuh pemain Vietnam dan ia menyebabkan pengadil dikecam oleh penyokong negara sebagai punca kekalahan pasukan.

Namun begitu, melalui ulang tayang dari sudut berbeza pula, jelas kelihatan pemain Selangor FC itu memijak tumit belakang pemain lawan dan sentuhan minimal itu digunakan sebaiknya penyerang Vietnam untuk menarik perhatian pengadil perlawanan.

Disiarkan pada: Jun 13, 2021 @ 9:58pm

Tiada ulasan:

Catat Ulasan