Khamis, 17 Jun 2021

Harimau Malaya balik Malaysia





Oleh Meja Sukan

17 Jun 2021, 8:16 pm

PETALING JAYA: Selepas hampir sebulan ‘berkampung’ di Dubai bagi mengharungi baki tiga saingan Kumpulan G, kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, skuad Harimau Malaya tiba di tanah air menaiki penerbangan sewa khas Malaysia Airlines berlatarbelakangkan liveri Harimau Malaya hari ini.

Terdahulu, pesawat tersebut menurunkan 13 pemain negara yang juga pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) di Bangkok untuk menyambung tugasan bersama skuad Harimau Selatan dalam saingan Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) bermula Selasa depan.

Hanya lapan pemain negara meneruskan penerbangan ke Kuala Lumpur sementara baki lima pemain yang berpangkalan di luar negara telah pulang ke destinasi masing-masing secara berasingan, semalam.

Skuad Harimau Malaya bimbingan Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe menamatkan saingan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di tempat ketiga Kumpulan G selepas menewaskan Thailand 1-0 pada aksi terakhir kumpulan di Stadium Al Maktoum, Dubai, awal pagi semalam.

Kedudukan itu membolehkan Malaysia yang mengumpul 12 mata melangkah secara automatik ke pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 yang dijadual berlangsung antara Februari dan Mac tahun depan.1

______________________________________

Tiada ulasan:

Catat Ulasan