Selasa, 22 Jun 2021

Luqman pamer aksi cemerlang

Oleh Zulfaizan Mansor - Jun 23, 2021 @ 11:16am

zulfaizan@bh.com.my



Luqman diasak oleh pemain KRC Harelbeke dalam perlawanan ujian awal pagi tadi. KV Kortrijk menang 5-0. - Foto ihsan Facebook KV Kortrijk Malaysia

KUALA LUMPUR: Penyerang muda negara, Luqman Hakim Shamsudin mempamerkan aksi memberangsangkan bersama kelabnya, KV Kortrijk selepas diturunkan ketika perlawanan ujian berdepan KRC Harelbeke, awal pagi tadi.

Pada aksi yang berkesudahan KV Kortrijk meraih kemenangan besar 5-0 itu, Luqman dilihat berjaya mempamerkan aksi meyakinkan selepas hampir sebulan bersama Harimau Malaya menghadapi kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang berakhir 16 Jun lalu.

Pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan berusia 19 tahun itu masuk sebagai pemain gantian dan mendapat beberapa peluang untuk meledak gol, namun gagal disudahkan dengan jaringan.

Malah, kepantasan larian dan keyakinan tinggi dipamerkan Luqman menjadi pencetus kepada jaringan kelima pasukannya apabila dia dijatuhkan pemain lawan pada minit ke-86 dan memaksa pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada KV Kortrijk.

Luqman yang sudah lama tidak beraksi bersama kelab Belgium itu turut mendapat pujian peminat menerusi komen di media sosial rasmi kelab berdasarkan persembahannya berdepan KRC Harelbeke.

Pelayar Facebook, Tofikz Toxx menulis: "Luqman ada kemajuan selepas berlatih dengan Harimau Malaya. Kalau dapat main 100 peratus setiap perlawanan, lagi padu bila balik kelab."

Asrul Amar pula memberi komen: "Insya-Allah, satu hari nanti Luqman akan berjaya juga. Hanya sabar, belajar lagi kena kuatkan mental."

Bukan saja peminat dari Malaysia, Luqman yang lebih dikenali sebagai Luqie dalam pasukannya turut mendapat sokongan daripada penyokong KV Kortrijk di Belgium, malah berdasarkan satu video di laman Instagram kvkortrijkfans, penyokong di stadium menyanyikan lagu khas buat Luqman.

"Kita dapat satu lagu Luqman! Allez Luqman Allez!," tulis laman Instagram itu berserta video nyanyian penyokong kepada Luqman.1

_______________________________________

1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/06/831126/luqman-pamer-aksi-cemerlang

Tiada ulasan:

Catat Ulasan