Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my
LUQMAN dikatakan mempunyai gaya permainan dan perwatakan seperti Mokhtar Dahari. FOTO KV Kortrijk/NSTP
Kuala Lumpur: Gaya larian, potongan rambut, kepantasan dan kemahiran individu menarik nyata memikat perhatian peminat bola sepak negara yang melabelkan Luqman Hakim Shamsudin persis legenda negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari.
Persamaan itu hadir selepas melihat aksi Luqman ketika membantu kelabnya, KV Kortrijk membelasah KRC Harelbeke 5-0 dalam aksi pramusim yang berlangsung kelmarin.
Luqman yang masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-60, bijak menggunakan kepantasan yang ada untuk mengucar kacirkan benteng pertahanan lawan hingga dia berjaya mendapatkan sepakan penalti yang disudahkan rakan sepasukannya.
Namun apa yang paling mencuri tumpuan adalah gerakan dan corak permainannya yang digambarkan saling tak tumpah seperti Mokhtar Dahari atau lebih dikenali dengan jolokan Super Mokh.
Peminat tanahair yang menyaksikan rakaman aksi itu dilaman sosial seolah terpegun dan membayangkan Luqman bakal menyerlah di peringkat antarabangsa.
"Rambut dia sebijik Super Mokh wooo...dribble pun nampak bayangan Super Mokh," tulis farhanfaizal di Instagram.
Aazief pula berpendapat, Luqman bakal meneruskan legasi Mokhtar sebagai penyerang paling prolifik buat skuad negara untuk tempoh yang panjang.
"Cara dia main dan gelecek sebijik macam arwah Super Mokh. InsyaAllah satu hari nanti dia bakal jadi pewaris Super Mokh yang selama ini kita cari-cari," kata Aazief.
Peminat wanita juga tidak terlepas memuji Luqman atau turut dikenali dengan panggilan Luqie di Belgium.
"Muka dan gaya permainan seperti arwah Mokhtar Dahari dah. Terbaik Luqman," kata aisyahicha_91.
Selain memikat perhatian penyokong tempatan, penyerang Harimau Malaya itu juga berjaya mencuri hati penyokong KV Kortrijk dan turut menyanyikan lagu untuk Luqman.
Untuk rekod, Mokhtar mencetak 125 gol bersama skuad kebangsaan dan menjaringkan 198 gol dalam 388 perlawanan bersama Selangor sejak 1971 hingga 1990 dalam Liga Malaysia.
Bagaimanapun, daripada 125 gol itu hanya 89 gol diiktiraf oleh Fifa untuk meletakkan Mokhtar antara tiga penyerang paling banyak menjaringkan gol di peringkat antarabangsa di belakang Cristiano Ronaldo dan Ali Daei dengan masing-masing meledak 109 gol.
Kekuatan fizikal, kehebatan skil, kebijaksanaan dalam permainan dan kepantasan sering kali menjadi mimpi ngeri pasukan seperti Jepun, Korea Selatan, Kuwait, Indonesia dan England B pada era 70-an dan 80-an.
Sepanjang kariernya, Mokhtar pernah ditawarkan bermain bersama Real Madrid selepas kelab La Liga itu terpegun melihatnya membantu pasukan pilihan Malaysia mengikat Arsenal 2-2 pada tahun 1972.
Selain Real Madrid, Super Mokh turut menarik minat beberapa kelab terbaik Liga Perdana Inggeris namun semuanya ditolak atas dasar ingin terus menabur bakti bersama Selangor dan Harimau Malaya.
Selepas pemergian Super Mokh pada 11 Julai 1991, bola sepak negara terus malap tanpa kehadiran permata yang sehebat namun dengan kemunculan Luqman di Liga Belgium ketika ini, tidak mustahil tonggak berusia 19 tahun itu bakal muncul peledak utama negara selepas ini.Disiarkan pada: Jun 24, 2021 @ 6:19pm.1
__________________________________________
1https://www.hmetro.com.my/arena/bola-sepak/2021/06/722181/persis-super-mokh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan