Jun 23, 2021 @ 9:20pm
Penjaga gawang Selangor FC, Khairulazhan Khalid. - Foto ihsan Facebook MFL.
KUALA LUMPUR: Penjaga gawang Selangor FC, Khairulazhan Khalid tidak mahu terbuai dengan pujian diberikan selepas beraksi dengan baik untuk membantu skuad Harimau Malaya mencatat kemenangan 1-0 ke atas Thailand, baru-baru ini.
Malah, pemain berusia 32 tahun itu mahu mengambilnya sebagai motivasi untuk beraksi dengan lebih yakin dan kembali fokus kepada saingan Liga Super bulan depan selepas mempamerkan prestasi membanggakan ketika aksi pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai.
Beliau turut mengakui tahap keyakinannya lebih meningkat selepas mendapat aura positif ketika berjuang bersama skuad Harimau Malaya, dan percaya akan dapat membantu pasukannya meraih kemenangan dalam baki saingan Liga Super nanti.
"Sejujurnya, saya masih belum bagus...pemain berada di depan saya di atas padang pada waktu itu sebenarnya yang bagus, dan mereka bantu saya lebih yakin melakukan tugas ketika menentang Thailand.
"Saya ambil pujian diberikan itu sebagai sesuatu yang positif untuk saya lebih maju dan yakin pada masa hadapan baik untuk kelab dan skuad negara," katanya dalam kenyataan melalui Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini.
Impian Khairulazhan untuk merangkul gelaran bersama skuad Gergasi Merah juga masih membara dengan harapan Selangor FC akan mencatatkan kejayaan membanggakan pada musim ini.
Sejak menyertai Selangor FC pada 2016, Khairulazhan belum merasai sebarang piala selepas menjuarai Piala Malaysia selama dua tahun berturut-turut pada 2013 dan 2014 bersama Pahang FA.
Sementara itu, tonggak terbaharu Kuala Lumpur City (KL City) FC, J Partiban menasihatkan mana-mana pemain muda yang sukar mendapat peluang beraksi dalam saingan Liga-Malaysia untuk berani berhijrah ke pasukan lain bagi mengembangkan karier mereka.
Berkongsi pengalamannya pada enam tahun lalu, pemain berusia 29 tahun itu bersyukur perpindahan dari Perak ke Sarawak pada musim 2015, membuka peluang baginya untuk mencipta nama di pentas Liga-Malaysia (Liga-M).
"Pada mulanya, memang sukar hendak dapat tempat dalam kesebelasan utama di Sarawak. Namun, saya berpuas hati dapat meraih banyak pengalaman di sana. Pada 2017 saya ke Terengganu, di sanalah saya dapat peluang bermain cukup banyak di bawah kendalian Irfan Bakti dan mara ke final Piala Malaysia 2018," katanya.
Kemuncak karier Partiban ialah pada musim 2019 apabila kembali bersama pasukan lamanya, Perak dan dipanggil menyertai latihan skuad kebangsaan oleh Tan Cheng Hoe.
Partiban yang juga bekas pemain Perak FC antara pemain akan memperkuatkan KL City FC selepas pintu perpindahan kedua dibuka, selain Kenny Pallraj, Ryan Lambert dan penyerang import dari Nigeria, Kyrian Nwabueze.- BERNAMA.1
______________________________________
1https://www.bharian.com.my/sukan/bola/2021/06/831376/penjaga-gol-selangor-tak-dibuai-pujian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan