Selasa, 22 Jun 2021

Harimau Malaya tunduk 0-4 kepada UAE

2021-06-04T07:43:25+08:00



Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023. - Gambar Facebook Football Association of Malaysia.

KUALA LUMPUR: Kunjungan skuad kebangsaan ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) sekali lagi berakhir dengan keputusan memalukan, selepas tewas 0-4 kepada pasukan tuan rumah pada aksi Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Dubai, awal pagi ini.

Gandingan penyerang prolifik Ali Mabkhout dan Fabio De Lima, masing-masing meledak dua gol untuk melengkapkan kejayaan UAE di Stadium Zabeel, Dubai, sekali gus melakar kemenangan kedua skuad ‘The Whites’ itu ke atas skuad kebangsaan, dalam saingan kempen kelayakan itu.

Pada aksi tersebut, Ketua Jurulatih Tan Cheng Hoe bukan sahaja melihat skuad Harimau Malaya terbaiknya yang dibarisi pemain naturalisasi dan pemain kacukan terbaru negara bergelut dengan tahap kecergasan, malah mereka gagal mencapai keserasian sepanjang 90 minit permainan.

Perbezaan ketara antara kedua-dua pasukan jelas dapat dilihat, apabila skuad kebangsaan lebih pasif seawal minit pertama permainan, berbanding UAE yang tampil lebih berkeyakinan di segenap bahagian dengan menyajikan permainan tersusun.

Aksi longlai skuad kebangsaan itu dihidu UAE, untuk mencipta beberapa gerakan menarik sehingga memaksa penjaga gol Mohd Farizal Marlias bekerja keras menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya, termasuk menepis rembatan Khalil Ibrahim pada minit ketujuh, dalam situasi satu lawan satu.

Ali yang meledak dua gol untuk membantu UAE mengatasi Malaysia 2-1 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada September 2019, terus menjadi mimpi ngeri barisan pertahanan negara, apabila dengan mudah melepasi kawalan Mohd Aidil untuk meledak gol pembukaan pada minit ke-19.

Malaysia setidak-tidaknya mampu mengikat keputusan pada separuh masa pertama, namun tandukan pemain naturalisasi terbaru negara Guilherme De Paula, yang tidak dirantai dalam kawasan kotak penalti jauh tersasar.

Kebuntuan dalam mencipta serangan selepas rehat memaksa Cheng Hoe membuat dua pertukaran dengan membawa masuk Muhammad Syafiq Ahmad dan pemain muda Luqman Hakim Shamsudin, namun gagal memainkan impak sebaliknya hanya Mohd Farizal terus diuji, dengan asakan bertali arus UAE.

Selepas bertindak cemerlang menyelamatkan gawang negara daripada terus dibolosi, penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, akhirnya tewas kali kedua pada minit ke-83 menerusi gol De Lima, sebelum keadaan menjadi lebih parah dengan UAE berjaya menambah dua gol, di penghujung perlawanan.

Ali dan De Lima masing-masing menjaringkan gol kedua peribadi mereka pada masa kecederaan babak kedua, untuk memberikan kemenangan ketiga UAE sekali gus melonjak naik ke kedudukan ketiga saingan Kumpulan G, dengan mengumpul sembilan mata.

Sementara Malaysia jatuh ke kedudukan keempat, meskipun turut mengumpul sembilan mata bersama UAE dan Thailand (ketiga), namun hanya dipisahkan perbezaan gol.

Aksi seterusnya skuad negara dijadual bertemu Vietnam pada 11 Jun, sebelum menutup saingan kumpulan berdepan Thailand (15 Jun).

Kekalahan kepada UAE ini menyaksikan skuad negara gagal menebus maruah kekalahanan besar 0-10 dalam kunjungan terakhir Malaysia menentang UAE, pada kempen kelayakan lepas pada September 2015.

Dalam pada itu, Thailand dan Indonesia terikat 2-2 dalam satu lagi aksi Kumpulan G, yang berlangsung di Stadium Al Maktoum, Dubai. - BERNAMA.1

_______________________________________________________

1https://www.utusanborneo.com.my/2021/06/04/harimau-malaya-tunduk-0-4-kepada-uae

Tiada ulasan:

Catat Ulasan