Rabu, 16 Jun 2021

Rombakan Harimau Malaya

MUHAMMAD ZAKWAN NAZARALY | | 17 Jun 2021




Skuad Harimau Malaya mencatatkan satu kemenangan dan dua kekalahan ketika mengharungi baki tiga perlawanan Kumpulan G kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai. - FOTO: FB FAM
PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tidak menolak kemungkinan melakukan rombakan pemain bagi menghadapi Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 pada Februari tahun depan.
Menurut Cheng Hoe, kedudukan kesemua pemain Harimau Malaya termasuk trio naturalisasi belum selamat dan prestasi mereka akan dinilai berdasarkan aksi dalam Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala dunia 2022/Piala Asia 2023.
“Saya rasa setiap pemain bukan saja (Guilherme) de Paula dan Liridon (Krasniqi), malah kesemua pemain akan kita nilai semula. Kami barisan kejurulatihan dan pengurusan pasukan akan duduk untuk menilai setiap prestasi mereka pada kempen kelayakan ini.
“Jadi saya tidak boleh memberi jaminan sama ada mana-mana pemain akan dikekalkan atau dipanggil semula. Selepas perbincangan dibuat dan melihat pasukan mana diundi berjumpa kita nanti, barulah kita boleh buat keputusan.
“Saya juga selalu memberi peluang kepada pemain lain di luar sana dan kita tahu impian setiap pemain untuk bermain bersama pasukan kebangsaan. Tetapi mereka kena berlatih bersungguh-sungguh dan layak untuk dapat tempat,” katanya dalam sidang media secara maya di Dubai pada Rabu.
Jika dibuat penilaian, prestasi Harimau Malaya dilihat tidak begitu memuaskan apabila mereka hanya mencatatkan satu kemenangan dan dua kekalahan ketika mengharungi baki tiga perlawanan Kumpulan G kempen kelayakan tersebut di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Harimau Malaya mengakhiri kempen kelayakan di kedudukan ketiga dengan mengumpul 12 mata hasil empat kemenangan dan empat kekalahan, sekali gus gagal melangkah ke Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia 2022.
Walaupun masih berpeluang merebut slot Piala Asia 2023, namun ramai pihak terutamanya peminat dan penyokong bola sepak Malaysia menyifatkan persembahan Harimau Malaya yang dibarisi ramai pemain kacukan dan naturalisasi tidak memberikan impak positif.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/144653/BERITA/Sukan/Rombakan-Harimau-Malaya© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf.1

_____________________________________________

Tiada ulasan:

Catat Ulasan