Sabtu, 16 Mac 2019

Sumareh sakit perut, bukan tarik diri'


'Sumareh sakit perut, bukan tarik diri'
MyMetroArena
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my
 
KUALA LUMPUR: Kelibat pemain naturalisasi asing pertama negara, Mohamadou Sumareh tidak kelihatan pada sesi ketiga latihan skuad kebangsaan semalam akibat keracunan makanan.

Pengendali skuad senior, Tan Cheng Hoe berkata, pemain Pahang itu memaklumkan tidak boleh menjalani latihan kerana sakit perut dan meminta dikecualikan untuk menjalani sesi latihan.

Katanya, situasi berkenaan tidak menjejaskan pemain terbabit untuk menjalani latihan seperti biasa, sekali gus menolak andaian dia menarik diri.

“Dia (Sumareh) ada maklumkan pada saya tidak boleh sertai latihan kerana sakit perut dan mungkin esok atau lusa akan sertai seperti biasa,” katanya ketika ditemui selepas tamat sesi latihan di Padang Majlis Sukan Negara(MSN), di sini, semalam.

Berikutan itu, Chen Hoe juga meminta pemain kebangsaan menjaga pemakanan dan kesihatan menjelang perlawanan Piala Airmarine yang akan berlangsung dari 20 hingga 23 Mac ini.

“Saya juga tidak mahu pemain jalani latihan terlalu keras kerana dibimbangi mereka akan cedera sekali gus merencatkan persiapan skuad kebangsaan.

“Sekarang ini pemain perlu berada pada tahap optimum iaitu mengelak daripada berlakunya kecederaan serius ketika sesi latihan dan juga masalah kesihatan lain,” katanya

Sementara itu, pemain naturalisasi kacukan, Nicholas Swirad mungkin terpaksa melupakan aksi sulung bersama skuad kebangsaan selepas mengalami kecederaan ketika sesi latihan.

Swirad berkata, dia agak sedih apabila namanya mungkin digugurkan atas faktor kecederaan apabila tarikh kejohanan hanya berbaki empat hari saja lagi.

Katanya, dia belum mengetahui secara terperinci punca kecederaan hingga menyebabkannya tidak dapat menyertai sesi latihan sejak dua hari lalu.

“Jika saya tidak dapat menyertai skuad kebangsaan, itu adalah perkara yang menyedihkan kerana sudah lama mengidamkan untuk menyarung jersi skuad kebangsaan.

“Setakat ini, saya belum lagi membuat pemeriksaan lanjut berkaitan tahap kecederaan, namun berharap akan pulih dalam masa terdekat ini,” katanya.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mac 2019 @ 7:00 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan