Rabu, 27 Mac 2019

China ikat Malaysia 2-2


PEMAIN kebangsaan, Dinesh Rajasingam cuba mengeluarkan bola dari
PEMAIN kebangsaan, Dinesh Rajasingam cuba mengeluarkan bola dari kotak penalti sambil diasak pemain China, Lin Liangming ketika separuh masa pertama aksi ketiga Kumpulan J kelayakan Piala AFC B-23 2020 di Stadium Shah Alam, hari ini.- FOTO UTUSAN/IQBAL ROSLI
Fadhilul Izmel Ishak

26 Mac 2019 10:43 PM
SHAH ALAM 26 Mac - Ketika kemenangan seakan-akan berpihak kepada skuad Bawah 23 (B-23) negara, jaringan lewat permainan, pertahanan China Jiang Sheng Long berjaya mengikat kedudukan seri 2-2 dalam aksi terakhir kelayakan Kejuaraan AFC B-23 di Shah Alam, sebentar tadi.

Keputusan seri itu menyebabkan kedua-dua pasukan berkongsi tujuh mata namun dipisahkan dengan perbezaan gol.

Berdasarkan format pertandingan 11 juara kumpulan layak secara automatik ke pusingan akhir kejohanan disusuli empat pasukan terbaik di tempat kedua secara keseluruhan diikuti tuan rumah, Thailand.


Dalam saingan tersebut, skuad kendalian Guus Hiddink tidak menunggu lama untuk menguji pintu gol Malaysia menerusi rembatan Yang Liyu pada minit ketiga namun rembatannya tidak menepati sasaran.

Malaysia cuba mengatur serangan terhadap kubu lawan dan mereka hampir membuka tirai jaringan seawal minit kesembilan.

Bagaimanapun hantaran Akhyar Rashid gagal disambut oleh Hadi Fayyadh Abdul Razak apabila penjaga gol China, Chen Wei terlebih dahulu menangkap bola.

Selang dua minit kemudian, penyokong Malaysia bersorak gembira selepas pertahanan China, Zhu Chen Jie tertampan bola ke dalam gawang sendiri berpunca daripada hantaran pemain sayap Syahmi Safari.

Kesilapan benteng pertahanan negara yang cuba melakukan perangkap ofsaid tidak berjaya dan natijahnya, Zhang Yuning berjaya menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-16 hasil hantaran lintang Hu Jinghang.

Malaysia hampir menggandakan jaringan pada minit ke-30 selepas berlaku situasi kelam-kabut di depan pintu gol lawan, namun rembatan R. Dinesh tidak menemui sasaran.

Bersambung babak kedua, pintu gol Malaysia berada dalam kedudukan bahaya pada minit ke-50 apabila China diberikan sepakan percuma di depan kotak penalti selepas Jinghang dijatuhkan namun mujur rembatan Dinghao mengenai benteng.

Kesilapan penjaga gol China, Chen Wei gagal menangkap bola dengan kemas dimanfaatkan sepenuhnya oleh Danial Haqim apabila merembat masuk untuk jaringan kedua Malaysia pada minit ke-54, berpunca daripada sepakan penjuru Nik Akif Syahiran.

China mempunyai peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan tetapi tandukan pemain gantian Shan Huanhuan tepat menuju ke penjaga gol negara, Haziq Nadzli pada minit ke-73 hasil hantaran lintang Jinghang.

Hiddink boleh menarik nafas lega apabila Sheng Long menanduk gol penyamaan ketika permainan berbaki enam minit berpunca daripada hantaran lintang Wen Jiabao.- UTUSAN ONLINE
SUMBER-Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/china-ikat-malaysia-2-2-1.870472#ixzz5jMIZlD1k
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan