KETUA Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memberi arahan kepada anak-anak buahnya ketika menentang Singapura pada perlawanan pembukaan Piala Air Marine 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam. - BERNAMA
21 Mac 2019 10:04 PM
KUALA LUMPUR 21 Mac - Pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe tetap mempertahankan keputusannya menurunkan Hazwan Bakri berbanding menggunakan khidmat pemain lincah Selangor, Faiz Nasir ketika aksi menentang Singapura, semalam.
Jelasnya, tindakan menggantikan pemain sayap Selangor, Syazwan Zainon dengan Hazwan kerana berpendapat penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mampu memberi impak terbaik buat pasukan negara.
Jika membuat perbandingan, Faiz yang berada pada prestasi terbaik adalah pilihan lebih tepat untuk diberikan peluang bermain dalam aksi tersebut berbanding Hazwan yang difahamkan belum diturunkan JDT dalam aksi Liga Malaysia, musim ini.
“Kerana posisi agak berlainan dan saya rasa Faiz Nasir lebih sesuai bermain peranan pemain nombor 10.
“Hazwan dah bersama (pasukan) tahun lepas dan banyak perlawanan (dia bermain), jadi saya rasa di posisi tersebut Hazwan boleh memberi satu impak atau kesan terbaik untuk negara,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan, semalam.
Harimau Malaya terpaksa akur dengan Singapura apabila tewas 0-1 dalam aksi pembukaan Piala Air Marine 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Gol tunggal pemain sayap lincah Singapura, Faris Ramli pada minit ke-82 cukup untuk menghukum Malaysia.
Kekalahan itu cukup mengecewakan pemain yang terdahulu turut beraksi dalam keadaan agak sunyi dengan kehadiran hanya 3,000 hingga 4,000 peminat ke stadium yang mampu menampung 90,000 penonton.
Malaysia kini akan menentang Afghanistan dalam penentuan tempat ketiga, Sabtu ini manakala Singapura bertemu Oman untuk merebut kejuaraan. - UTUSAN ONLINE
SUMBERArtikel Penuh: http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/hazwan-lebih-lama-bersama-pasukan-berbanding-faiz-1.866948#ixzz5iyCCTfVZ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan