Isnin, 25 Mac 2019

Terima kasih Safawi!

MyMetroArena
Syazwan Msar
mohdsyazwan@hmetro.com.my
 
GOL tunggal pemain gantian Safawi Rasid membantu Malaysia mengatasi Laos 1-0 pada aksi kelayakan Kejohanan B-23 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) di Stadium Shah Alam, malam ini.

Sepakan percuma lencong Safawi dari sebelah kanan mengelirukan penjaga gol Laos, Kaharn Phetsivilay sekali gus melegakan skuad Ong Kim Swee yang mengharapkan kemenangan bagi mencerahkan peluang beraksi pada pusingan akhir di Bangkok, tahun depan.

Walaupun skuad negara perlu menjaringkan lebih banyak gol untuk bersaing dengan China namun kemenangan itu memberi kelebihan kepada mereka dan kekal menghuni tangga kedua kumpulan.

Kim Swee membuat percaturan mengejutkan apabila meletakkan Safawi dan Hadi Fayyadh Razak di bangku simpanan sebaliknya menampilkan Nik Azli Nik Alias dan Faisal Halim di jentera serangan.

Faisal, yang menjaringkan satu gol ketika menang 3-0 ke atas Filipina, bagaimanapun gagal bertindak cemerlang.

Malah Nik Azli dilayangkan kad kuning pada babak pertama kerana didakwa sengaja menjatuhkan badan untuk mendapatkan sepakan penalti.


NIK Azli (kanan) dipersalahkan pengadil kerana didakwa melayangkan badan untuk mencari penalti. — FOTO Sairien Nafis
Laos kendalian V Sundramoorthy yang sekali-sekala melancarkan serangan balas hampir menyumbat gol menerusi rembatan pemain tengah Vannasone Douangmaity pada minit ke-35 namun terkena palang sekali gus melegakan skuad B-23 negara.

Kim Swee akhirnya memasukkan Safawi menggantikan Faisal Halim manakala Jafri Firdaus Chew mengambil tempat Nik Azli dan ia sedikit sebanyak mengubah rentak perlawanan.

Sembilan minit sebelum tamat, Safawi menyelamatkan air muka Kim Swee dengan gol yang dinanti-nanti menerusi sepakan percuma cantik yang memperdaya penjaga gol lawan.

Malaysia akan berentap dengan China, yang terdahulu membelasah Filipina 8-0, Selasa ini bagi menentukan juara kumpulan.

Jika kalah, Malaysia perlu menanti sama ada mampu muncul antara empat pasukan naib juara kumpulan yang layak ke pusingan akhir.

SUMBERArtikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2019 @ 11:07 PM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan