MyMetroArena
Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my
KRITIKAN yang diterima ketika
aksi persahabatan menentang skuad bawah 22 (B-22) Australia sebelum ini diambil
sebagai tonik dan pembakar semangat buat penjaring dua gol skuad negara, Akhyar
Rashid ketika membenam Filipina 3-0 malam kelmarin.
Dia yang beraksi longlai dan
dikatakan ‘lembik’ ketika seri 1-1 dengan Australia, membalas kritikan itu
apabila meledak gol pada minit keempat dan ke-31 sebelum Faisal Halim menambah
gol ketiga untuk meraih kemenangan dalam aksi Kumpulan J Kelayakan B-23 AFC.
Bekas pemain Kedah yang kini
beraksi dengan Johor Darul Ta’zim, mengakui bersyukur kerana berjaya membantu
pasukan mencapai misi meraih tiga mata pertama.
“Semua bagi komitmen yang bagus,
hantaran juga semuanya tepat dan dalam kotak penalti lawan kami juga berjaya
sudahkan beberapa peluang. Terima kasih kepada rakan yang mengikut segala
arahan jurulatih.
“Malah, itu (kritikan) sudah
tentu saya ambil sebagai pembakar semangat. Sebenarnya ketika aksi itu,
bukanlah saya ambil mudah cuma Australia amat konsisten dan kami pula baru nak
serasi.
“Tapi alhamdulillah, kami semakin
meningkat dan akan beri komitmen sepenuhnya untuk aksi seterusnya nanti,”
katanya.
Sementara itu, ketua pasukan
Safawi Rasid mahu rangkaian trio ‘SAH’ yang diketuai olehnya, Akhyar dan Hadi
Fayyadh Razak tampil lebih berbisa apabila turun pada aksi kedua menentang Laos
malam ini.
Katanya, jentera serangan perlu
lebih tajam dan memanfaatkan peluang dengan baik bagi meraih jumlah jaringan
besar yang boleh menjadi penentu buat mencari juara kumpulan sekali gus mara
secara automatik ke pusingan akhir di Bangkok Januari depan.
“Kalau boleh kami nak jaringkan
gol lebih. Hari ini (kelmarin) banyak pasukan lain menang 6-0 dan 7-0, saya
rasa lawan Laos ini penting kerana aksi terakhir lawan China tak nak gagal dari
segi perbezaan gol.
“Apa pun, rakan saya dah beri
yang terbaik menentang Filipina dan saya amat berpuas hati,” kata pemain
kelahiran Dungun, Terengganu itu.
Hanya juara daripada 11 kumpulan
pusingan kelayakan akan meraih tiket automatik bersama tuan rumah Thailand,
manakala empat lagi pasukan akan diisi oleh empat naib juara kumpulan terbaik
bagi melengkapkan 16 pasukan terakhir.
sumberArtikel ini disiarkan pada
: Ahad, 24 Mac 2019 @ 7:00 AM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan