Khamis, 21 Februari 2019

Kad merah bikin Danial Haqim sebak


Selasa, 19 Februari 2019 | 6:29pm

Danial Haqim Draman. - Foto Owee Ah Chun
Kad merah bikin Danial Haqim sebak
Daripada Firdaus Hashim
firdaushashim@nstp.com.my
PHNOM PENH, Kemboja: Linangan air mata Danial Haqim Draman sejurus tamat aksi menentang Kemboja jelas menggambarkan seribu penyesalan buat tonggak tengah skuad bawah 22 (B-22) tahun negara itu apabila layangan dua kad kuning yang diterimanya menyaksikan Malaysia terpaksa beraksi dengan 10 pemain sepanjang babak kedua.

Lebih malang, selepas tiga minit dia diperintahkan keluar padang, Kemboja berjaya meraih gol menerusi sepakan percuma Sath Rosib dari tengah padang yang terus menerjah jaring pada minit ke-62 sekaligus menghadiahkan kemenangan 1-0 di Stadium Olimpik, Phnom Penh, di sini malam tadi.

Jelas Danial yang pertama kali diberi tanggungjawab memikul tugas di posisi tengah itu, dia tidak menjangka dilayangkan kad kuning kedua kerana tidak sengaja mengasari pemain tuan rumah itu.

Malah, beliau mengakui menangis ketika diperintah keluar padang oleh pengadil dari Vietnam, Nguyen Hien Triet kerana menyedari rakan sepasukannya bakal berdepan tugas berat untuk bertahan dengan beraksi 10 pemain.

"Saya rasa kecewa sebab kena kad merah. Saya rasa tak dapat bantu pasukan," katanya yang menitiskan air mata sejurus tamat aksi pertama Kumpulan B saingan Piala B-22 AFF (Persekutuan Bolasepak ASEAN) itu.

Selain itu, pemain muda pasukan Kelantan itu berharap semua rakannya dapat memberi fokus terbaik bagi menjayakan misi wajib menang ke atas Indonesia pada aksi kedua petang esok bagi membuka kembali peluang skuad negara mengintai dua slot terbaik ke separuh akhir.

"Ini pengalaman berguna untuk saya bangkit pada perlawanan akan datang dan ini pengalaman untuk saya tingkatkan prestasi. InsyaAllah rakan-rakan akan bangkit pada perlawanan berikutnya selepas ini," katanya.
SUMBER BERITA HARIAN ONLINE

Tiada ulasan:

Catat Ulasan