(Dari kiri) Andrew Leci, Serbegeth Singh, Paul
Parker dan Andy Penders (kanan) pada pelancaran program EPL menerusi Astro
ESPN-Star Sports, semalam.
KUALA LUMPUR - Bekas pemain kebangsaan dan pengulas
sukan, Serbegeth Singh menegur penggunaan khidmat berlebihan ke atas beberapa
tonggak Harimau Malaya sehingga menyekat langkah skuad negara ke pusingan
ketiga Kelayakan Piala Dunia 2014, baru-baru ini.
Katanya, inilah salah satu faktor yang perlu dikaji
dan diperbetulkan sekali gus menjadi pengajaran kepada sesiapa pun apabila
menyediakan pasukan kebangsaan menghadapi tugasan antarabangsa penting seperti
menentang Singapura, hujung bulan lalu.
"Mereka ini manusia, bukan mesin atau robot
malah mesin pun ada ketikanya perlu direhat dan diselenggara. Memang ada
ketikanya akan berlaku prestasi turun naik tetapi inilah sebuah generasi pemain
terbaik kita selepas hampir 20 tahun.
"Janganlah berlebihan menggunakan khidmat
mereka sampai tiada masa untuk mereka berehat atau pemulihan. Daripada Sukan
SEA, inilah pemainnya, Piala Suzuki AFF pun mereka, Liga Super mereka lagi,
kemudian Kelayakan Olimpik dan kini ke Slovakia.
"Soal mereka terlalu muda atau mentah
(menentang Singapura) tidak timbul, cuma berilah mereka ruang dan betulkan
faktor ini," katanya selepas majlis pelancaran musim baru program Liga
Perdana England 2011-12 menerusi Astro ESPN-Star Sports di Bukit Damansara,
semalam.
Namun, Shebby (gelarannya) tetap akur bahawa
kekalahan agregat 6-4 itu turut membawa pengajaran bahawa tiada mana-mana
pasukan pun yang akan berjaya buat selama-lamanya walaupun selepas memenangi
pingat emas Sukan SEA 2009 dan Piala Suzuki AFF 2010.
"Kalah kepada Singapura satu tamparan hebat
kerana kita tidak kisah kalau kalah kepada pasukan selain itu. Seharusnya ada
kajian menyeluruh mengapa prestasi pemain tiba-tiba menurun atau adakan ilmu
jurulatih sudah cukup untuk membawa mereka ke satu lagi tahap persaingan,"
katanya.
Tegas Shebby, rombakan besar-besaran pasukan dengan
memecat jurulatih atau menggugurkan pemain tertentu bukan tindakan yang bernas
kerana beliau sendiri masih mempunyai keyakinan kepada skuad Harimau Malaya
sekarang yang kebanyakannya sudah dibentuk sejak empat tahun lalu.
"Apa berlaku memang perit, buruk dan pahit
tetapi saya masih ada keyakinan dengan generasi pemain ini kerana selepas 20
tahun, ia bukan senang untuk bangkit atau membangunkan sebuah generasi pemain
kebangsaan yang mantap dan handal," katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0811&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_12.htm#ixzz5fb6OatSL
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan