ARKIB : 15/07/2011
K.Rajagopal (kiri) bersalam dengan pengurus
Liverpool, Kenny Dalglish pada sidang akhbar skuad Reds di Kuala Lumpur
semalam. Turut hadir pada sidang akhbar tersebut ialah pemain tonggak Reds,
Dirk Kuyt (kanan).
KUALA LUMPUR - Selepas kalah 0-4 kepada Arsenal
kelmarin, jurulatih kebangsaan, Datuk K. Rajagobal menyeru pemain supaya
bangkit pamerkan perwatakan sebenar.
Harapan itu diluahkan menjelang pertemuan dengan
sebuah lagi kelab gergasi Liga Perdana England (EPL), Liverpool esok di
gelanggang yang sama sebelum menentang Singapura pada perlawanan pusingan kedua
kelayakan Piala Dunia 2014 pada 23 dan 28 Julai ini.
"Ini adalah medan kedua buat saya untuk
melihat perwatakan pemain, saya akan menilai mereka dengan lebih telus pada
perlawanan menentang Liverpool ini sebelum menentang Singapura," katanya
ketika ditemui Utusan Malaysia sebelum menjalani latihan semalam.
Jelasnya, ini adalah masa terbaik buatnya
memperbaiki beberapa kelemahan yang dikenalpasti sebaik sahaja dimalukan skuad
Gunners kelmarin dengan beberapa pemain mempamerkan aksi longlai.
"Ada pemain yang tidak beraksi pada prestasi
sebenar kelmarin. Ketika bertemu pemain yang dimaksudkan, saya telah
menyarankan supaya mereka bangkit apabila menentang Liverpool.
"Selain beraksi di gelanggang sendiri, kita
juga mempunyai kelebihan kerana bertemu Liverpool di sebelah petang, mungkin di
situ pemain akan kembali bangkit dan bersaing sesama sendiri untuk merebut
tempat dalam kesebelasan utama," katanya.
Rajagobal juga turut memanggil dua pemain Ismail
Faruqi Ashari dan Izzaq Faris Ramlan bagi menggantikan Norshahrul Idlan Talaha
dan Aidil Zafuan Abd. Razak yang mengalami kecederaan.
"Saya harap pemain beraksi dengan baik, jangan
mudah leka sehingga membolehkan lawan menjaringkan gol mudah dan mempamerkan
corak permainan pantas.
"Pertemuan dengan Liverpool sangat penting,
pemain kena cepat bertindak dan lupa kekalahan kelmarin, saya harap mereka
belajar daripada kesilapan," kata Rajagobal.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0715&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5eYeZnQAW
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan