ARKIB : 04/07/2011
SHAH ALAM - Skuad kebangsaan diharap dapat
mengekalkan kecemerlangannya apabila menentang Singapura pada pusingan kedua
kelayakan Piala Dunia pada 23 Julai ini.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery
Cheek berkata, pihaknya berharap skuad Harimau Malaya tidak terlalu
terbawa-bawa dengan keadaan perlawanan kedua melawan Taiwan di Taipei, semalam
yang menyaksikan pengadil 'menghadiahkan' tiga sepakan penalti untuk pasukan
tuan rumah.
''Walaupun beberapa keputusan pengadil boleh
dipertikaikan, namun ia tidak seharusnya dijadikan alasan buat skuad negara
untuk terus bermain dengan cemerlang," katanya kepada pemberita selepas
menonton perlawanan tersebut bersama kira-kira 300 remaja di Restoran Lagenda
17 di sini, semalam.
Turut sama menyaksikan perlawanan itu ialah Ketua
Pergerakan Pemuda UMNO Shah Alam, Azhari Shaari dan beberapa pemain legenda
bola sepak negara seperti, Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh dan Mubin
Mokhtar.
Shabery berkata, skuad kebangsaan telah banyak
menghasilkan keputusan yang membanggakan dan sebagai pasukan yang mula
dihormati di rantau ini, Malaysia perlu membuktikan kebangkitannya melalui
pertarungan dengan jiran terdekat, Singapura nanti.
Dalam pada itu, beliau melahirkan rasa gembiranya
kerana prestasi yang dicatatkan oleh skuad kebangsaan berjaya menambah
keyakinan dan kesetiaan para peminat dan penyokong bola sepak tanah air.
''Keyakinan adalah sesuatu yang sukar dibina dan ia
boleh hancur dalam sekelip mata, jadi, saya harap skuad Harimau Malaya terus
memberikan keputusan yang cemerlang buat rakyat Malaysia," katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0704&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5eTSFILEY
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan