ARKIB : 09/07/2011
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
TENGKU Abdullah (barisan belakang, empat dari
kanan) bergambar dengan pemain skuad Harimau Malaya pada majlis menandatangani
perjanjian di antara TM dan FAM sebagai Rakan Rasmi Pasukan Bola Sepak Kebangsaan
di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
PETALING JAYA Skuad Harimau Malaya mencipta
sejarah apabila meraih penajaan lumayan daripada Telekom Malaysia (TM) yang
mencecah RM6 juta setiap tahun, selama empat tahun sehingga 2015.
Di bawah perjanjian tersebut, TM akan menaja RM6
juta pada tahun pertama, dengan penambahan 10 peratus dari tahun ke tahun.
TM juga menjanjikan insentif yang mencecah RM1 juta
kepada skuad kebangsaan sekiranya memenangi trofi dalam mana-mana kejohanan
yang sertai.
Serentak itu juga logo TM akan terpampang pada
jersi latihan pasukan, pelbagai barangan sukan dan pakaian rasmi skuad Harimau
Malaya.
Selain daripada tajaan tersebut, TM bersedia
menghantar dua pemain Malaysia dengan ditemani seorang jurulatih menjalani
latihan yang dikendalikan oleh Manchester United atau ke Dubai, Emiriah Arab
Bersatu (UAE).
Kesudian TM menaja skuad kebangsaan menggembirakan
Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Ahmad
Shah yang menganggap ia sebagai lembaran baru kepada skuad kebangsaan.
Sebelum ini, skuad bola sepak negara belum pernah
menerima pakej tajaan komersial seperti ini.
Dengan kewujudan perkongsian ini, dua-dua pihak
dapat berkongsi dan menaikkan imej pasukan kebangsaan ke tahap yang lebih
tinggi
Satu lagi perkara yang lebih penting, melalui
penajaan ini, skuad kebangsaan mampu ditadbir urus secara profesional dalam
semua aspek, supaya mampu menarik lebih banyak penaja pada masa akan datang,
katanya pada majlis menandatangani perjanjian TM dan FAM sebagai Rakan Rasmi
Pasukan Bola Sepak Kebangsaan, semalam.
Pada majlis tersebut, TM diwakili Ketua Pegawai
Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Zamzamzairani Mohd. Isa.
Turut hadir Naib Presiden FAM yang juga pengurus
skuad kebangsaan, Datuk Subahan Kamal dan Pengerusi TM, Datuk Dr. Halim Shafie.
Dalam pada itu, Subahan berkata, penajaan TM cukup
bermakna buat skuad kebangsaan untuk mendapatkan pendedahan luar negara seperti
di benua Eropah dan Asia Barat.
Jumlah tajaan ini membantu kami mengadakan
beberapa perlawanan persahabatan atau menjalani latihan luar negara, kami akan
cuba menggunakannya dengan cermat terutamanya dalam menghadapi persiapan
Kelayakan Piala Dunia 2014, katanya.
Pada majlis yang sama, Tengku Abdullah turut
menyuarakan mahu menubuhkan Yayasan Bekas Pemain Kebangsaan bagi membela nasib
pemain bola sepak yang pernah menyarung jersi negara.
Cadangan penubuhan yayasan ini diharapkan tidak
bertindih dengan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) kerana ia mahu
memberikan tumpuan khas kepada bekas pemain bola sepak.
Ia juga secara tidak langsung dapat memberikan
semangat kepada para pemain-pemain muda untuk menyarung jersi kebangsaan
melalui yayasan ini, katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0709&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5eYAHKVWJ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan