ARKIB : 25/07/2011
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
PENJAGA gol skuad kebangsaan, Sharbinee Allawee
Ramli (depan) berkata sesuatu kepada rakan sepasukan setelah berakhir
perlawanan Kelayakan Piala Dunia menentang Singapura, kelmarin.
SINGAPURA - "Semua gol yang dihasilkan oleh
Singapura adalah jaringan yang mudah, ia disebabkan kecuaian pemain
Malaysia,".
Itu rumusan jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K.
Rajagobal mengenai kerapuhan benteng pertahanan negara sehingga Malaysia
mencatat kekalahan terburuk 3-5 pada perlawanan Kelayakan Piala Dunia di
republik itu kelmarin.
Beliau yang kecewa dengan keputusan di Stadium
Jalan Besar itu menambah, pemain negara terlalu banyak memberikan ruang kepada
lawan dan bagaikan hilang fokus terutama dua gol lawan pada minit akhir babak
pertama.
"Dua jaringan tersebut meletakkan Singapura
selesa mendahului 4-1, " katanya pada sidang akhbar di sini, kelmarin.
Rajagobal juga tidak menafikan ketiadaan tonggak
pertahanan berpengalaman, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak memberikan kesan besar
persembahan Malaysia kelmarin.
"Ketiadaan Aidil begitu dirasai, dia merupakan
tonggak berpengalaman bahagian pertahanan.
"Jika dia beraksi, dia mungkin mampu
memberikan dimensi yang berbeza kepada permainan Malaysia," katanya.
Kalah 3-5 kelmarin adalah kekalahan terburuk skuad
negara selepas menjuarai Piala Suzuki AFF tahun lalu pada kejohanan
antarabangsa.
Apa yang dikesalkan, Singapura bukanlah lawan yang
terlalu hebat, tetapi pasukan negara yang 'bermurah hati' sehingga membenarkan
lima gol dibolosi kelmarin.
Tanda kerapuhan benteng skuad negara dirasai sejak
pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Taiwan.
Masalah kerapuhan pertahanan berterusan pada dua
perlawanan persahabatan dengan dua gergasi Liga Perdana Inggeris, Arsenal dan
Liverpool apabila gawang Harimau Malaya bocor 14 kali dalam keempat-empat
perlawanan.
Bintang muda seperti Mohd. Fadhli Shas, Mohd.
Muslim Ahmad dan Mahalli Jasulli yang sebelum ini mempamerkan aksi mantap pada
Piala AFF tahun lalu, dilanda kemerosotan prestasi yang dalam
perlawanan-perlawanan berkenaan.
Pada aksi kelmarin, Singapura berulang kali berjaya
membolosi bahagian pertahanan kanan, membuktikan Mahalli gagal memainkan
peranan dengan baik mengekang kemaraan pemain tuan rumah terutamanya dua import
China, Qiu Li dan Shi Jiayi, walaupun dia sering membantu barisan serangan dan
turut menjadi arkitek kepada gol kedua negara.
Muslim dan Fadhli juga sering kali terlepas
mengunci pergerakan penyerang lawan, Aleksandar Duric yang banyak bergerak
bebas dalam kawasan penalti dan akhirnya Malaysia dihukum pada jaringan kelima
oleh pemain yang berasal dari Serbia itu pada minit ke-80.
Di samping itu aksi yang dipamerkan oleh Sharbinee
Allawee di gawang juga agak mendukacitakan apabila langsung tidak berusaha
menyelamatkan dua sepakan percuma yang menjadi punca kepada dua gol pertama
Singapura.
Tidak dinafikan, Mahalli, Fadhli, Muslim dan
Sharbinee mempunyai potensi besar untuk terus mewakili negara pada masa akan
datang tetapi bagi perlawanan kedua nanti di Stadium Nasional Bukit Jalil,
jurulatih, Datuk K. Rajagobal harus melakukan sedikit rombakan jika tidak mahu
skuad negara berputih mata.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0725&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5ebcVhDIh
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan