ARKIB : 22/07/2011
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN dan AIZAWATI AHMAD
sukan@utusan.com.my
Pemain Malaysia, Syahrul Azwari Ibrahim melakukan
percubaan ke arah pintu gol Chelsea sambil dihalang John Obi Mikel (tengah) dan
Frank Lampard pada perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil,
semalam.
KUALA LUMPUR - Chelsea perlu tabik kepada skuad
Pilihan Malaysia apabila status gah mereka selaku naib juara Liga Perdana
Inggeris musim lalu sekadar menyaksikan mereka menang 1-0 pada aksi
persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
Skuad Blues hanya menang hasil jaringan kontroversi
Didier Drogba, apabila penjaga garisan, M. Sivanesan membenarkan jaringan hasil
sepakan percuma penyerang sensasi Chelsea itu pada minit ke-78.
Bola sepakan Drogba yang dilakukan dari jarak 20
meter, jelas belum melepasi garisan gol selepas terkena palang dan melantun
semula kembali ke arah penjaga gol, Mohd. Izham Tarmizi namun Sivanesan
mengangkat bendera bagi mengesahkan jaringan tersebut.
Malaysia menolak peluang untuk menyamakan kedudukan
pada minit ke-84 menerusi A. Thamil Arasu, namun dia gopoh apabila hanya
berhadapan penjaga gol Chelsea, Peter Cech dan langsung tidak dicabar oleh
pertahanan Chelsea, tetapi dia percubaannya jauh tersasar.
Tidak banyak harapan diberikan kepada skuad Pilihan
Malaysia yang menggunakan 13 tonggak Harimau Muda di samping dibantu 9 pemain
senior, namun persembahan mereka terbaik jika dibandingkan dengan dua keputusan
sebelum ini ketika skuad Harimau Malaya kalah 0-4 kepada Arsenal dan 3-6 kepada
Liverpool.
Seperti mana yang dijanjikan jurulatih Ong Kim
Swee, dia menurunkan semua pemain senior pada permulaan perlawanan dengan hanya
dua pemain skuad Olimpik, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Zubir Azmi mengisi
kesebelasan utama.
Sementara Chelsea tidak menyenaraikan beberapa
pemain utama seperti Peter Cech, Didier Drogba, Ashley Cole, John Obi Mikel dan
John Terry sebaliknya memberikan ruang kepada beberapa pemain muda seperti Ryan
Bertrand dan Joshua McEachran pada babak awal perlawanan.
Kim Swee berkata, percaturan menggandingkan pemain
senior berhasil apabila dapat membimbing pemain muda dalam skuad Pilihan
Malaysia sehingga mengikat kedudukan tanpa jaringan pada babak pertama.
"Malahan pada babak kedua, apabila saya
menurunkan sebahagian besar pemain muda, permainan lebih tersusun malahan kita
hampir menyamakan kedudukan.
"Ia merupakan satu persembahan baik daripada
skuad negara malam ini sebagai persediaan ke Kelayakan Olimpik," katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0722&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5eZui1b6n
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan