ARKIB : 21/06/2011
KUALA LUMPUR Walaupun skuad Olimpik Negara
menunjukkan kematangan dari segi pencapaian semasa, cuma keyakinan di atas
padang perlu ditingkatkan sekiranya mahu menang di tempat sendiri pada
perlawanan timbal balik pusingan kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil Khamis
ini.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery
Cheek berkata, usaha anak buah skuad bimbingan Ong Kim Swee, yang seri tanpa
jaringan ketika menentang Lebanon di Beirut kelmarin, diharapkan akan
membuahkan hasil dengan kelebihan bermain di hadapan penyokong sendiri.
Saya lihat pasukan kita bersifat defensif pada
babak awal, tapi mereka mula mengatur serangan dan bermain dengan penuh
semangat pada separuh masa kedua dan memastikan pertahanan kukuh sehingga tidak
berjaya ditembusi oleh Lebanon.
Walaupun tidak berjaya menyumbat sebarang gol,
saya harap kematangan mereka akan menunjukkan kesungguhan pada perlawanan di
tempat sendiri nanti, katanya.
Beliau menyaksikan siaran langsung perlawanan
tersebut bersama lebih 1,000 peminat menerusi skrin besar di Dataran Merdeka di
sini, malam kelmarin. Turut hadir Ketua Setiausaha KBS Datuk Mohid Mohamed.
Ahmad Shabery berkata, walaupun Malaysia tewas
kedua-dua perlawanan persahabatan menentang Kemboja dan Qatar, ia bukan kayu
ukur yang sebenarnya.
Tidak semestinya sekiranya tewas kita tidak mampu
untuk bangkit bersaing.
Pemain telah mengambil pengajaran di atas
kekalahan perlawanan itu dengan memperbaiki dan membuat persediaan sewajarnya,
katanya.
Pada perlawanan persahabatan menentang Kemboja, skuad
Olimpik dikejutkan dengan kekalahan 0-1 pada 7 Jun lalu dan terus dirundung
malang apabila tewas 0-4 ketika menentang Qatar selang enam hari kemudian (13
Jun).
Pada perlawanan pertama pusingan kedua kelayakan
Olimpik 2012 kelmarin, Malaysia dan Lubnan terikat tanpa jaringan 0-0.
Terdahulu skuad Olimpik kebangsaan menewaskan
Pakistan dengan agregat 2-0 untuk melangkah ke pusingan kedua tersebut.
Kali terakhir Malaysia layak ke Sukan Olimpik ialah
pada 1980 di Moscow tetapi Malaysia memboikot temasya itu kerana membantah
pencerobohan Soviet Union ke atas Afghanistan.
Sebelum itu, pemain Malaysia beraksi pada Sukan
Olimpik 1972 di Munich, Jerman.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0621&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5eRmHjhcc
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan