ARKIB : 04/06/2011
KUALA LUMPUR - Malaysia mengikat Hong Kong 1-1 di
Stadium Siu Sai Wan, Hong Kong, semalam sekali gus meneruskan rekod tanpa kalah
dalam tiga perlawanan bola sepak persahabatan sepanjang tahun ini.
Sentuhan berbisa penyerang muda Terengganu, Abdul
Hadi Yahya seperti mana dia menerajui Liga Super musim ini, menyerlah dengan
jaringan penyamaan buat skuad negara pada minit ke-66 setelah menggantikan
Safee Sali.
Tuan rumah bagaimanapun mengejutkan anak buah K.
Rajagobal yang sedang dalam persediaan menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2014,
dengan gol Siu Ki Chan, enam minit terdahulu.
Keputusan seri dalam perlawanan yang disaksikan
kurang 600 penonton ini turut menyekat hasrat Hong Kong untuk menebus kekalahan
2-0 kepada juara Piala Suzuki AFF 2010 ini dalam persahabatan pertama, 9
Februari lalu.
Satu lagi perlawanan persahabatan pada 26 Mac lalu
menyaksikan Malaysia turut diikat 1-1 oleh juara Liga Singapura, Etoile FC dari
Perancis di Singapura.
Malaysia akan menghadapi Myanmar dalam persahabatan
seterusnya, kemungkinan di Kota Bharu pada 18 Jun ini sebelum berdepan ujian
sebenar Kelayakan Piala Dunia dengan Taiwan, 29 Jun dan 3 Julai.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0604&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5eM2EKGTL
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan