Jumaat, 15 Februari 2019

Malaysia terlepas peluang

ARKIB : 12/08/2011

Pemain Malaysia, Khairul Naim Mahyuddin melepasi asakan pemain Ukraine, Dmytro Leonov pada perlawanan pembukaan acara bola sepak Universiade 2011 di Stadium Shenzhen, semalam.

SHENZHEN - Jaringan pada minit ke-88 meranapkan impian besar skuad bola sepak Malaysia untuk mencipta kejutan apabila tunduk 1-2 kepada juara bertahan, Ukraine dalam perlawanan pembukaan Kumpulan B Sukan Universiti Dunia (Universiade) 2011 semalam.

Pemain gantian, Mykhaylo Kozak menjadi pemusnah Malaysia untuk sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri, selepas dia dibiarkan berseorangan dalam kotak penalti dan kesempatan itu bijak dimanfaatkan pemain berusia 20 tahun itu untuk menjadi penjaring gol kemenangan Ukraine.

Biarpun bergaya mendahului lawan sebaik 40 saat bermula separuh masa kedua melalui gol K. Reuben Thayaparan, kegagalan mempertahankan kelebihan ekoran beberapa kesilapan individu pemain pada bahagian pertahanan, membuatkan Malaysia terpaksa membuka langkah saingan dengan penuh duka.

Namun tidak boleh dinafikan skuad bimbingan Aminuddin Hussin yang juga merupakan jurulatih Bawah 16 negara layak diberikan pujian kerana mampu menyaingi kelebihan fizikal lawan sepanjang perlawanan.

Peluang Malaysia untuk mara ke suku akhir masih terbuka dengan syarat perlu memenangi pertemuan berdepan Brazil pada 14 Ogos ini dan Rusia, dua hari kemudian.

Mengulas kekalahan semalam, Aminuddin berkata, aksi luar jangkaan para pemainnya menafikan tanggapan Malaysia bakal menjadi pasukan 'lauk' di Shenzhen.

Malahan, dia berpuas hati dengan mutu persembahan pemain memandangkan mereka hanya berlatih dua minggu sebelum ke Shenzhen.

"Jika kita dapat mengumpul pemain dan berlatih lebih lama, mungkin pasukan ini boleh beraksi lebih baik.

''Kami hanya mengumpul pemain selama dua minggu namun saya amat gembira dengan tahap persembahan semua pemain.

''Memang tidak dinafikan kami kalah kerana kesilapan individu yang menyebabkan kami gagal meraih sebarang mata.

"Namun perkara itu memang dijangkakan berlaku kerana semua pemain belum benar-benar serasi," katanya yang ditemui selepas perlawanan.
SUMBER
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0812&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz5faw3mAgq
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan