Isnin, 4 Februari 2019

Semangat United bantu Safee meledak

ARKIB : 17/07/2011
 
Gaya Safee Sali meraikan jaringannya ketika menentang Liverpool semalam.

KUALA LUMPUR - 'Harimau Berantai' Harimau Malaya, Safee Sali yang menyumbat dua gol ketika menentang Liverpool, semalam, tidak menyangka dapat menewaskan gawang lawan yang dikawal Martin Hansen pada babak kedua.

Pemain kelahiran Kajang, Selangor ini juga mengakui kemampuan luar biasanya mungkin ada kena-mengena dengan pendiriannya sebagai penyokong setia musuh ketat The Reds dalam Liga Perdana England, Manchester United.

"Saya tidak sangka dapat dua gol, mungkin juga kerana sebagai penyokong setia MU, ia semacam perangsang tambahan dalam perlawanan tadi. Gol ini bagaimanapun tetap datangnya daripada kerja sepasukan," katanya yang mengakhiri kemarau gol antarabangsa dengan Malaysia sejak Piala Suzuki AFF, tahun lalu.

Safee yang kini mewakili Pelita Jaya Indonesia, menyambar percubaan awal sayap kanan Malaysia, Amirulhadi Zainal untuk menewaskan Hansen yang hanya sempat menguis bola sedikit dalam kotak penalti.

Gol keduanya pula terhasil daripada umpanan tepat jarak jauh pemain Kelantan, Rizal Fahmi Rosid yang menggamatkan sorakan 80,000 penonton di Stadium Nasional.

Sementara itu, ketua pasukan negara, Safiq Rahim menyifatkan mereka sepasukan sudah di tahap persediaan yang tepat apabila bertandang ke Stadium Jalan Besar, Singapura pada 23 Julai ini bagi perlawanan pertama pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2014.

"Kami yakin kami sudah bersedia menentang Singapura walaupun ada beberapa kesilapan pertahanan yang dihukum Liverpool untuk gol mudah mereka," katanya, yang menjaringkan gol pembukaan Malaysia.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0717&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz5eZEiuEq0
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan