ARKIB : 20/06/2011
KUALA LUMPUR - Skuad Olimpik bimbingan Ong Kim Swee
sekurang-kurangnya boleh menarik nafas lega apabila berjaya mengikat pasukan
tuan rumah, Lebanon 0-0 dalam perlawanan pertama pusingan kedua kelayakan Sukan
Olimpik London 2012 di Stadium Sports City, Beirut, semalam.
Aksi pemain bawah 23 tahun negara boleh dipuji
selepas berjaya bertahan dengan baik mengekang asakan lawan dan sekali-sekala
cuba mengancam melalui beberapa percubaan yang hampir menghasilkan gol.
Bagaimanapun, aksi separuh masa pertama memperlihatkan
Malaysia lebih gemar untuk bertahan dan hanya beberapa kali melakukan serangan
balas pantas ke arah kubu lawan menerusi dua percubaan tepat.
Kedua-dua percubaan tersebut dilakukan oleh Wan
Zack Haikal Wan Noor pada minit ke-11 dan susulan rembatan dari bahagian kanan
gawang Lebanon berjaya diselamatkan oleh penjaga gol, Mohamad Hijazi.
Malaysia sekali mempunyai peluang terbaik untuk
merobek gawang lawan pada minit ke-21 selepas Mohd. Fandi Othman melakukan
hantaran jauh menuju ke arah penyerang Izzaq Faris Ramlan namun tandukannya
tersasar.
Separuh masa kedua barulah memperlihatkan skuad
muda negara menunjukkan permainan yang lebih positif apabila kerap mengasak
skuad Lebanon termasuk percubaan jarak jauh dari Wan Zack pada minit ke-54,
namun sekali lagi penjaga gol lawan menjadi penghalang.
Pemain Harimau Muda A yang beraksi dalam Liga Super
itu sekali lagi melakukan percubaan pada minit ke-62 bagi membawa bekalan
selesa menjelang perlawanan timbal balik di Stadium Nasional Bukit Jalil Khamis
ini, namun dia gagal menyudahkan hantaran rendah K. Gurusamy.
Lebanon dilihat memperlahankan rentak pada aksi
separuh masa kedua sekali gus memberi peluang buat Malaysia mengawal
perlawanan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0620&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5eRGJSYZp
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan