Sabtu, 2 Februari 2019

Skuad Olimpik tekan butang panik


ARKIB : 16/06/2011
KUALA LUMPUR - Kekalahan besar 0-4 kepada Qatar pada aksi persahabatan kelmarin, mengundang persoalan mampukah skuad Olimpik negara bimbingan Ong Kim Swee menghadapi kehebatan Lebanon di Beirut, 19 Julai nanti?

Lebih menggusarkan ialah kemarau jaringan dalam dua aksi persahabatan selepas kalah 0-1 kepada Kemboja.

Ia melengkapkan kebimbangan bahawa skuad Olimpik tidak mempunyai penggempur yang boleh diharapkan.

Walaupun Kim Swee tidak menurunkan kapten, Khairul Fahmi Che Mat dan pertahanan Terengganu, Zubir Azmi, ketika dimalukan di Doha, ia tidak boleh dijadikan punca kepada kekalahan.

Malahan, alasan Kim Swee bahawa pemain ghairah mencari gol penyamaan selepas ketinggalan pada awal perlawanan, bukan satu alasan yang cerdik jika diukur kepada tahap pendedahan yang diberikan selama ini.

Kepedihan kekalahan skuad Olimpik kelmarin, dirasai Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Azzuddin Ahmad, yang beranggapan sudah sampai masanya skuad itu menekan butang kecemasan.

"Kita kecewa kerana ia kekalahan yang besar dan saya sendiri tidak jangka. Sudah tiba masanya mereka membuat post-mortem punca kekalahan.

"Saya harap pemain tidak patah semangat ekoran kekalahan ini, sebaliknya menjadi suntikan semangat apabila turun dalam perlawanan sebenar nanti," katanya.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0616&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5eMwfSZMX
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan