Isnin, 4 Februari 2019

Esok masih ada buat Harimau Malaya


ARKIB : 24/07/201
Oleh AIZAWATI AHMAD
sukan@utusan.com.my
 
Pemain Singapura, Qiu Li (jersi No. 11) menyempurnakan sepakan percuma yang merobek gawang Malaysia pada perlawanan pertama pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 di Stadium Jalan Besar, Singapura, semalam. Singapura menang 5-3. - MINGGUAN/ASWAD YAHYA

KUALA LUMPUR - Asalkan ada kemahuan, Harimau Malaya masih mampu melakar kemenangan ke atas Singapura pada perlawanan kedua pusingan kelayakan Piala Dunia 2014 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis ini, sekali pun mereka tumpas 3-5 di Singapura, semalam.

Jurulatih Pahang, Dollah Salleh berkata, skuad negara mampu mengatasi Singapura tetapi, mereka juga perlu segera memperbaiki benteng pertahanan agar tidak mengulangi kesilapan sama ketika beraksi di gelanggang sendiri nanti.

"Saya perhatikan kita sebenarnya bermain dengan baik pada separuh masa kedua, cuma kita buat kesilapan apabila melepaskan gol kelima yang tak sepatutnya diberi kepada Singapura," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini, semalam.

Mengulas mengenai kemasukan Amirul Hadi Zainal pada babak kedua permainan, Dollah melahirkan rasa hairan mengapa jurulatih pasukan kebangsaan, Datuk K. Rajagobal tidak menyenaraikan pemain sayap kanan itu sejak awal perlawanan lagi.

"Saya sebenarnya hairan juga kenapa Amirul hanya dimasukkan pada separuh kedua, tetapi apa pun jurulatih lebih arif untuk tentukan pemain-pemainnya kerana dia lebih tahu," ujar bekas penyerang kebangsaan itu.

Sementara itu, jurulatih Selangor, K. Devan turut sependapat dengan Dollah yang mana benteng pertahanan skuad negara perlu diperkemaskan menjelang perlawanan kedua di Bukit Jalil.

Menurutnya, berdasarkan perlawanan di Singapura, para pemain tidak seharusnya memberikan tendangan percuma di kawasan bahaya yang terbukti telah mengancam gawang Malaysia apabila bolos dua gol menerusi cara yang sama.



Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0724&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5ea6PmNlo
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan