ARKIB : 23/07/2011
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
Safee Sali, Safiq Rahim serta rakan sepasukan gigih
berlatih di padang tiruan Stadium Jalan Besar, Singapura, semalam sebagai
persiapan menentang Singapura pada perlawanan pertama pusingan kedua kelayakan
Piala Dunia 2014, malam ini. - UTUSAN/ASWAD YAHYA
SINGAPURA - Jurulatih Taiwan, Lee Tae-Ho, baru-baru
ini menyatakan Singapura yang menewaskan mereka 3-2 pada 20 Julai lalu ternyata
lebih baik berbanding Malaysia.
Seolah-olah merendahkan kemampuan Malaysia yang
menyingkirkan mereka di pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2014, jurulatih
itu mendakwa, Singapura mempunyai pemain yang matang dan beraksi lebih tersusun
berbanding Malaysia.
Pandangan itulah yang menjadi perhatian media
Singapura yang diajukan kepada jurulatih Malaysia, Datuk K. Rajagobal pada
sidang akhbar semalam.
Bagaimanapun, jurulatih berusia 55 tahun itu tidak
cepat melatah, sebaliknya optimis terhadap kemampuan pemainnya sendiri.
''Semua orang boleh menyatakan pendapat mereka
masing-masing. Itu terpulang pada mereka.
''Kita mungkin boleh mendapat 80,000 pendapat
berbeza daripada 80,000 orang yang datang menonton sesuatu perlawanan. Saya
tidak ambil kisah dengan pendapat jurulatih Taiwan kerana saya hanya mahu
memberikan fokus kepada pasukan saya sahaja.
''Sebagai jurulatih, saya lebih tahu kemampuan
pemain saya sendiri," katanya pada sidang media di Hotel Amara, semalam
menjelang perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014 menentang
Singapura, hari ini.
Bercakap mengenai Singapura, beliau berkata, cara
permainan Singapura sedikit mirip skuad negara berdasarkan apa yang beliau
perhatikan daripada rakaman video dua aksi persahabatan terakhir.
''Apa yang saya dapat nilai, kekuatan dan kelemahan
kami tidak banyak berbeza antara satu sama lain, jadi saya sama sekali tidak
akan mengambil mudah. Apa yang saya harapkan, pada perlawanan esok (hari ini),
pasukan kami dapat menampilkan rentak menarik untuk mencapai kemenangan,"
ujarnya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0723&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5ea2NqNzn
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan