Selasa, 5 Februari 2019

Harimau Malaya ada peningkatan tetapi belum cukup untuk pergi jauh


ARKIB : 01/08/2011
PERJALANAN pasukan bola sepak kita ke Piala Dunia 2014 di Brazil tersekat di tangan pasukan Singapura dengan agregat 6-4.

Stadium Nasional di Bukit Jalil dipenuhi dengan puluhan ribu penyokong pasukan kita tetapi itu tidak cukup untuk mengatasi defisit 2 gol yang dibawa pulang dari Singapura.

Pemain pasukan kebangsaan telah menunjukkan semangat juang yang tinggi tetapi kita perlu akur dengan kelebihan pasukan lawan.

Sebagai jaguh Sukan SEA 2009 dan Juara Piala AFF juga tidak menjamin kemenangan di pihak kita.

Walau apa pun ini merupakan permulaan yang baik dan perlu dipertingkatkan lagi.

Pasukan Singapura menggunakan tenaga pemain-pemain import dan kita tidak boleh mencemuh mereka oleh sebab pendekatan yang diambil oleh negara berkenaan.

Walaupun ada cadangan pada masa dulu untuk mengambil tenaga import bagi menguatkan pasukan kebangsaan kita, tetapi cadangan tersebut tidak mendapat sokongan oleh kerana kita lebih rela dengan anak jati negara ini mewakili pasukan kebangsaan.

Jadi itulah pendekatan kita setakat ini dan kita tidak boleh mencemuh pendekatan yang diambil oleh negara lain kerana kita tewas.

Walaupun kita belum lagi berhasrat untuk mengambil tenaga import bagi menganggotai pasukan kebangsaan kita tetapi kita begitu ghairah untuk mengambil pemain import bagi mengisi tempat-tempat dalam pasukan-pasukan yang bertanding dalam Liga Bola Sepak Malaysia.

Nampaknya ketiadaan pemain import sangat dirindui walaupun ada pihak yang mengatakan semasa ketiadaan pemain-pemain berkenaan, memberi ruang kepada pemain tempatan untuk beraksi dan menunjukkan kebolehan masing-masing.

Kini kita berharap supaya pasukan Olimpik akan berjaya dalam kempen untuk menyertai Sukan Olimpik London 2012.

Dunia bola sepak antarabangsa dan tempatan digegarkan dengan kisah menentukan keputusan permainan.

Beberapa pemain remaja telah dibawa ke muka pengadilan kerana dikatakan terlibat dalam sindiket menentukan perlawanan ini.

Dalang yang terlibat juga telah dibawa ke muka pengadilan.

Tragedi menentukan keputusan perlawanan telah melanda dunia bola sepak kita pada tahun 1994 dan 1995.

Lebih dari 100 orang pemain telah diharamkan dari terlibat dalam aktiviti sukan bola sepak seumur hidup.

Kesan dari ini ialah merudumnya prestasi pasukan bola sepak kebangsaan sehinggalah beberapa tahun yang lalu.

Kita perlu memperkuatkan sistem risikan bagi membanteras gejala ini.

Tanpa rangkaian risikan yang jitu mereka yang terlibat akan terlepas walaupun ada pihak di FA Negeri mungkin tahu mengenainya seperti yang berlaku pada awal tahun 90an dan 80an.

Kita mungkin boleh merasa lega oleh kerana bukan negara kita sahaja dilanda gejala ini.

Korea Selatan, Bangladesh, Greek, Turki dan Itali juga dilaporkan mengalami masalah yang sama.

Apa yang menarik FIFA juga terlibat sama dan telah menghukum beberapa pegawai kanannya.

Kesempatan ini juga saya mengucapkan tahniah kepada SMK Bukit Nenas kerana memenangi Liga Bola Sepak Kementerian Pelajaran bagi pasukan bawah 14 tahun dengan mengalahkan SMK Seri Kota Melaka.

Begitu juga kepada jaguh dari Kedah SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman yang menjadi johan bagi pasukan bawah 17 tahun dengan mengalahkan SMK Syed Hassan dari Perlis.

Pemain-pemain ini adalah sebahagian dari pemain muda yang akan dilihat dalam beberapa tahun akan datang.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0801&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_09.htm#ixzz5ei1zONZk
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan