ARKIB : 20/07/2011
KUALA LUMPUR - Berjaya menandingi pertahanan
Chelsea, John Terry dan menanduk masuk sepakan sudut Rosdi Talib pada minit
ke-40 dalam saingan Piala Liga Perdana England Asia 2003 memang satu pengalaman
yang tidak dapat dilupakan pemain Negeri Sembilan, Hairuddin Omar.
Esok, pemain kelahiran Setiu, Terengganu berkenaan
dijangka bertemu semula dengan pemain antarabangsa England itu (Terry), bukan
buat kali kedua tetapi kali ketiga selepas kali terakhir ketika Malaysia tewas
0-2 kepada Chelsea di Stadium Shah Alam pada 2008.
Menurut pemain berusia 31 tahun itu, bertemu semula
Chelsea pada perlawanan persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil sempena
Jelajah Asia pra musim, esok menaikkan semula semangat Hairuddin yang dipilih
dalam skuad Pilihan Malaysia bimbingan jurulatih, Ong Kim Swee.
"Saya gembira diberi peluang beraksi semula
bersama pasukan Malaysia walaupun bergabung dengan skuad Olimpik, ia sedikit
sebanyak memberi semangat kepada saya bukan sahaja dapat beraksi menentang
Chelsea tetapi menyertai sebuah skuad yang mempunyai pemain muda yang
bagus," katanya ketika ditemui media selepas latihan di padang Majlis
Sukan Negara (MSN) dekat sini, semalam.
Jelasnya, jika diturunkan oleh Kim Swee dia
berjanji akan beraksi dengan baik tetapi tetap merasakan sukar untuk mengulangi
pencapaian 2003 menjaringkan gol tunggal negara pada ketika itu selepas tewas
1-4.
"Kami akan cuba memberi tentangan kerana
Chelsea bukan calang-calang pasukan kerana dibarisi pemain hebat, tetapi jika
dapat menjaringkan gol dan menewaskan penjaga gol, Petr Cech ia boleh dianggap
bonus buat saya.
"Saya juga merasakan skuad kali ini berbeza
berbanding pasukan 2003 yang ketika itu Chelsea di bawah bimbingan Claudio
Ranieri dengan mengharapkan pemain seperti Jimmy Floyd Hasselbaink, Boudewijn
Zenden berbeza dengan sekarang apabila mereka dibarisi Didier Drogba, Fernando
Torres dan Cech," katanya.
Hairuddin juga berjanji akan memberi persembahan
terbaik jika dia digandingkan bersama pemain Selangor, Amri Yahyah berikutan di
dalam latihan jurulatih banyak menggunakan gandingan tersebut di bahagian
serangan.
"Bagaimanapun saya tidak terfikir untuk
dipilih semula dalam skuad kebangsaan bimbingan jurulatih, Datuk K. Rajagobal,
kerana pasukan itu sudah mempunyai pemain tetap yang sudah serasi berganding bersama
seperti Norshahrul Idlan Talaha dan Safee Sali," katanya.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0720&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5eZgzeg1Y
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan