ARKIB : 20/07/2011
Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my
Sintang utama Chelsea, John Terry (kanan) dan Frank
Lampard (dua dari kanan) bersama rakan sepasukan menyertai sesi latihan pasukan
itu di Stadium Nasional, Bukit Jalil, semalam. - AP
KUALA LUMPUR - Pertemuan menentang Chelsea pada
perlawanan persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil, esok akan digunakan
sepenuhnya oleh jurulatih, Ong Kim Swee untuk menguji kesemua pemain skuad
Olimpik dan beberapa bekas pemain kebangsaan.
Menurut Kim Swee, pendekatan yang akan digunakan
pada pertemuan dengan kelab London itu ialah meletakkan pemain senior sama ada
bekas pemain kebangsaan atau pemain yang pertama kali beraksi dalam skuad
kebangsaan dalam separuh masa pertama manakala pemain skuad Olimpik pada babak
berikutnya .
"Berdasarkan pengamatan saya ketika skuad
kebangsaan menentang Arsenal dan Liverpool sebelum ini, kedua-dua pasukan Liga
Perdana England (EPL) tersebut meletakkan pemain muda mereka pada separuh masa
pertama sebelum menurunkan pemain utama pada separuh masa kedua," katanya
kepada para pemberita di padang Majlis Sukan Negara (MSN), semalam.
Jelasnya, percaturan tersebut adalah untuk
membolehkan pemain senior yang rata-rata pernah beraksi bersama skuad
kebangsaan membuktikan kebolehan mereka bersaing dengan pemain muda Chelsea,
sekurang-kurangnya bagi mendapat tempat dalam skuad Harimau Malaya bimbingan
Datuk K. Rajagobal.
"Bagi skuad Olimpik pula inilah peluang
terbaik mereka bersaing dengan pemain senior Chelsea yang kebanyakannya ialah
pemain kebangsaan negara masing-masing seperti John Terry (England), Fernando
Torres (Sepanyol), John Obi Mikel (Nigeria) dan Frank Malouda (Perancis).
"Selain itu pemain skuad Olimpik ini juga
boleh mendapat kata-kata semangat dan belajar daripada sembilan pemain senior
yang saya senaraikan sebagai persediaan terbaik mereka menjelang kelayakan
Sukan Olimpik 2012 yang bermula September ini," katanya.
Antara pemain senior yang dipanggil Kim Swee ialah
Badhri Radzi, Daudsu Jamaluddin, S. Subramaniam, Joseph Kalang Tie, Norhafiz
Zamani Misbah, Hairuddin Omar, Farizal Marlias, Shahrulnizam Mustapa dan Amri
Yahyah.
"Kalau boleh saya memang hendak memberi
peluang semua pemain bawah 23 tahun termasuk mereka yang dipanggil daripada
pasukan negeri dan kelab, selain pasukan saya sendiri Harimau Muda A untuk
beraksi menentang Chelsea kerana ini adalah peluang terbaik untuk mereka
menimba pengalaman," katanya.
Pemain bawah 23 tahun pasukan negeri dan kelab yang
disenaraikan Kim Swee adalah Izuan Solahuddin (Kelantan), Zubir Azmi
(Terengganu), Faizal Abu Bakar (Kedah), Azrul Azmi (Felda United), Hazwan Bakri
(Kuala Lumpur), Azrif Nasrulhaq (PKNS), Nazmi Faiz dan Syazwan Tajuddin
(Harimau Muda B).
Selepas ini kesemua lapan pemain tersebut akan
bergabung dengan 15 pemain skuad Harimau Muda A yang dijadual menjalani latihan
dan perlawanan persahabatan di Slovakia selama sebulan bagi persiapan menjelang
perlawanan kelayakan Olimpik peringkat kumpulan.
Antara 15 pemain Harimau Muda A ialah Shukor Jusoh,
Gary Steven Robbat, Amer Saidin, Affize Faisal Mamat, Fandi Othman, Ferris
Daniel Mat Nasir, Irfan Fazail, Izham Tarmizi, Zamir Selamat, K. Sasikumar,
Syahrul Azwari Ibrahim, A. Thamil Arasu, Wan Zack Haikal Wan Nor dan Wan
Zaharulnizam Wan Zakaria.
Mereka akan berlepas ke Slovakia pada Jumaat ini.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0720&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5eZfrgtJ0
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan