ARKIB : 31/07/2011
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Kenyataan bahawa kekalahan Malaysia
kepada Singapura pada Kelayakan Piala Dunia Khamis lalu sebagai tidak
membimbangkan, sukar untuk diterima oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM) Tan Sri Annuar Musa.
Menurutnya, alasan bahawa sasaran sebenar Harimau
Malaya ialah pada Piala Asia 2015, tidak wajar,
Ini kerana, kata Annuar Kelayakan Piala Dunia
adalah kejohanan paling penting bagi semua negara yang menganggotai badan bola
sepak dunia FIFA, kerana ia menjadi kayu ukur kemampuan sesebuah negara.
"Saya bukan bercakap untuk kita menang Piala
Dunia, tetapi sejauh mana kita mampu mara kerana kita telah mencuba 11 kali
untuk melayakkan diri ke Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Dunia.
"Namun sehingga kini kita masih gagal, jadi kita
tidak boleh rasa puas hati.
''Kita kena terima hakikat dan jangan takut untuk
menyatakan prestasi skuad kebangsaan belum matang sepenuhnya tambahan kita
sukar hendak mencapai kemenangan di tempat lawan.
"Kelayakan Piala Asia masih jauh dan jangan
jadikan Kelayakan Piala Asia 2015 dijadikan keutamaan sebagai alasan kegagalan
kita melepasi halangan Singapura tempoh hari," katanya ketika dihubungi
semalam.
Malaysia tersingkir pada Pusingan Kedua Kelayakan
Piala Dunia apabila tewas 4-6 secara agregat kepada Singapura, setelah seri 1-1
pada pertembungan kedua Khamis lalu.
Mengulas kehampaan tersebut, Annuar berkata,
kegagalan tidak seharusnya dipikul oleh jurulatih Datuk K. Rajagobal sahaja,
tetapi ia menjadi tanggungjawab FAM juga.
"FAM juga perlu bertanggungjawab kerana mereka
yang mengaturkan persediaan pasukan sebelum menghadapi sesuatu kejohanan,"
katanya.
Dalam perkembangan sama, Annuar bersetuju dengan
pandangan seorang lagi Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah
bahawa pemain skuad kebangsaan ketika ini harus dikekalkan.
"Mereka semua masih muda, itu kelebihan yang
saya nampak pada pasukan ini.
"Saya yakin dengan pendedahan banyak lagi
perlawanan, pasukan ini mampu mara jauh, " katanya.
Mengenai Rajagobal, beliau berkata, segala
keputusan hanya akan terjawab pada mesyuarat Jawatankuasa Pasukan Kebangsaan
yang akan dipengerusikan oleh Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah.
"Saya tidak boleh mengulas mengenai kedudukan
Rajagobal kerana ia perlu diperbincangkan oleh semua exco sebelum kita membuat
apa-apa keputusan.
"Tarikh mesyuarat belum diputuskan lagi, jadi
saya tidak boleh ulas lanjut perkara ini," katanya.
Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0731&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5ehzHV4zH
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan