ARKIB : 14/07/2011
KUALA LUMPUR - Kekalahan 0-4 kepada Arsenal jelas
mengecewakan jurulatih Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal yang menyifatkan
kelemahan barisan pertahanan punca utama.
Tambah beliau, Malaysia banyak menghadiahkan
beberapa gol mudah kepada pihak lawan yang menyebabkan mereka terpaksa berputih
mata.
''Saya kecewa dengan mutu persembahan pemain saya
secara keseluruhannya tidak bermain begitu baik pada malam ini.
''Walaupun kita berjaya menghadirkan tekanan
menerusi S. Kunanlan, namun barisan pertahanan seolah-olah tidur dan hasilnya
kita memberikan mereka gol-gol mudah.
''Ternyata kita perlu kerja keras lagi untuk
memperbaiki kelemahan di bahagian pertahanan supaya lebih bersedia untuk
menghadapi Singapura pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia," katanya
pada sidang akhbar selepas perlawanan Siri jelajah Asia 2011 Malaysia menentang
Arsenal, semalam.
Tambah Rajagobal, selepas ini, beliau akan berjumpa
dengan pemain- pemain dan berbincang supaya semangat mereka tidak akan luntur
atas kekalahan besar tersebut.
''Arsenal memang pasukan yang berbeza tahapnya
dengan kita, saya akui faktor berkenaan. Barisan tengah mereka bermain cukup
bagus.
''Namun, kita sepatutnya memberikan tekanan
semenjak sepak mula, namun sepakan penalti seolah-olah merencatkan rentak
pemain saya untuk beraksi lebih baik," katanya.
Pada masa yang sama, Rajagobal berkata, beliau kini
mengharapkan penyerang berbisa negara, Safee Sali segera pulih daripada
kecederaan dan bersedia untuk berdepan Singapura.
''Saya kini tidak mempunyai ramai pilihan di
barisan serangan dan amat berharap Safee sembuh daripada kecederaannya supaya
boleh bermain ketika menentang Singapura," katanya.
Menyentuh kecederaan Aidil Zafuan, beliau
memerlukan masa untuk melihat tahap kecederaannya sebelum membuat sebarang keputusan.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0714&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5eYPF7kGg
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan