Ahad, 3 Februari 2019

Nasihat bekas pemain, pasak benteng kuat-kuat


ARKIB : 06/07/2011
Oleh ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Masih ada yang perlu diperbaiki oleh skuad Harimau Malaya sebelum bertemu Singapura pada perlawanan pertama pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2014, 23 Julai ini.

Demikian saranan daripada bekas pemain kebangsaan yang turut menyaksikan perlawanan Malaysia menentang Taiwan tempoh hari.

Bekas pemain sayap kiri negara, Hassan Sani berpendapat, kelemahan paling ketara yang perlu diperkemaskan ialah di bahagian pertahanan.

Katanya, kekuatan sesebuah pasukan bergantung kepada bahagian pertahanan yang kebal selain menyerap tekanan daripada pihak lawan.

''Sewaktu menentang Taiwan di laman sendiri saya dapat lihat jaringan gol pihak lawan diperoleh kerana kealpaan bahagian pertahanan kita.

''Kita mempunyai pemain pertahanan yang bagus, cuma mereka ini perlu elakkan daripada melakukan kesilapan dan seandainya mereka ini dapat kekalkan prestasi ketika beraksi dalam Piala Suzuki AFF sudah tentu kita mampu menghadapi Singapura,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Tambah Hassan, peluang beraksi menentang pasukan Liga Perdana England seperti Arsenal dan Liverpool dalam perlawanan persahabatan sewajarnya dimanfaatkan dengan baik oleh semua pemain kebangsaan.

''Melalui perlawanan sebegini pemain kita dapat melihat sendiri rentak permainan yang digunakan oleh pasukan Arsenal dan Liverpool.

''Saya juga mengharapkan sesuatu yang berguna buat pemain kita daripada perlawanan persahabatan itu selain mendoakan pasukan kita berupaya menghadapi Singapura nanti,'' ujar Hassan.

Sementara itu, penjaring gol pembukaan ketika menentang Korea Selatan pada perlawanan kelayakan Olimpik Moscow 1980, Bakri Ibni berkata, menentang Singapura bukan sesuatu yang mudah.

"Persediaan yang perlu ada pada pemain ialah daripada aspek kekuatan mental, fizikal dan keberanian untuk bertemu pasukan lawan. Semua itu adalah penting buat pemain kebangsaan dan kita juga perlu mengkaji dengan mendalam kelemahan dan kekuatan Singapura sebelum bertemu mereka,'' jelas Bakri.

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0706&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_03.htm#ixzz5eXzDlT5o
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan