Ahad, 3 Februari 2019

Hadi tambah keresahan Rajagobal


ARKIB : 27/06/2011
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
 
Abdul Hadi Yahya (kiri) mengalami kecederaan bahagian otot belakang pinggul ketika sesi latihan dan mungkin tidak dapat diturunkan pada perlawanan Kelayakan Piala Dunia menentang Taiwan, Rabu ini.

KUALA LUMPUR - Ketika kelibat Norshahrul Idlan Talaha belum pasti dapat digunakan, skuad bola sepak kebangsaan menerima perkhabaran yang meresahkan apabila seorang lagi penyerang, Abdul Hadi Yahya dilanda kecederaan menjelang Kelayakan Piala Dunia menentang Taiwan, Rabu ini.

Penyerang Terengganu itu mengalami masalah pada bahagian otot belakang pinggul, menyebabkan dia tidak beraksi pada perlawanan persahabatan dengan Harimau Muda A di Stadium Majlis Bandar Raya Petaling Jaya (MBPJ), Sabtu lalu.

Pengendali Harimau Malaya, Datuk K. Rajagobal, mengesahkan kecederaan tersebut dan berkata, beliau tidak pasti sejauh mana tahap kecederaan penyerang prolifik Terengganu itu.

Menurutnya, semuanya bergantung kepada pemeriksaan yang akan dilakukan oleh pemain itu hari ini.

"Kita akan buat keputusan selepas sesi latihan pertama esok (hari ini) dan daripada situ, saya boleh tentukan peluang Hadi untuk bermain.

"Jika Hadi tidak dapat diturunkan, saya mungkin memikirkan beberapa pilihan lain untuk digandingkan dengan Safee Sali di bahagian serangan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Namun, kecederaan Norshahrul yang semakin pulih memberikan sedikit khabar gembira , bermakna pemain itu mempunyai harapan untuk diturunkan berdepan Taiwan nanti.

"Kecederaan Norshahrul semakin pulih tetapi masih terlalu awal untuk saya katakan apa-apa, semuanya bergantung kepada sesi latihan pagi esok, " ujarnya.

Selain Hadi, penyerang Johor FC, Shahrizal Saad masih belum cergas sepenuhnya sementara Ahmad Fakri Saarani diturunkan ketika pertemuan dengan Harimau Muda A Sabtu lalu.

Alternatif terbaik buat Rajagobal seandainya Hadi dan Norshahrul tidak dapat bermain menentang Taiwan nanti ialah meletakkan Fakri Saarani, Baddrol Bakhtiar atau Ashari Samsudin di bahagian hadapan membantu Safee Sali menggempur kubu lawan.

Mengenai keupayaan Taiwan, Rajagobal berkata, dia mempunyai sedikit maklumat pasukan tersebut tetapi tidak mahu menggangap ia sebagai rumusan yang tepat.

"Kita memang tahu mengenai Taiwan berdasarkan persembahan mereka pada Piala Cabaran AFC, namun itu cerita pada Mac lepas.

"Mungkin mereka menggunakan pemain lain pada masa itu dan pada masa kini, pemain yang mereka bawa ke Kuala Lumpur tidak sama, sama jugalah seperti kita yang ada beberapa penambahan pemain baru.

"Walaupun begitu, saya tahu cara Taiwan bermain dan saya harap ia boleh membantu menentang mereka nanti, " ujarnya.

Malaysia akan bertemu Taiwan pada perlawanan timbal balik pusingan pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rabu ini sebelum melengkapkan pertemuan kedua di gelanggang lawan, 3 Julai depan.
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0627&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5eSuBfvY9
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan