ARKIB : 14/07/2011
Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN dan ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my
Tomas Rosicky menewaskan penjaga gol Malaysia,
Khairul Fahmi Che Mat untuk gol keempat Arsenal pada perlawanan persahabatan di
Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.
KUALA LUMPUR - Belum terlambat buat Harimau Malaya
mencari kesilapan setelah dibelasah 0-4 oleh kelab gergasi Liga Perdana
England, Arsenal di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.
Memang benar kekalahan yang dialami oleh pasukan
negara bukan satu perkara yang mengejutkan, namun apa lebih mustahak,
perlawanan 90 minit yang dilalui skuad negara berdepan pemain-pemain berkelas
dunia ternyata menjadi bekalan berguna bagi menghadapi Singapura pada pusingan
kedua kelayakan Piala Dunia 2014.
Corak permainan pantas dan hantaran tepat, dua
elemen penting yang boleh dipelajari oleh anak-anak buah Datuk K. Rajagobal
daripada Arsenal.
Apa pun, barisan Malaysia wajar dipuji kerana mampu
memberikan saingan ke atas skuad bimbingan Arsene Wenger dalam perlawanan
menghiburkan yang disaksikan kira-kira 50,000 penonton.
Cuma apa yang sedikit merisaukan ialah kecederaan
yang dialami oleh tonggak pertahanan negara, Mohd. Aidil Zafuan yang mungkin
terlepas peluang berdepan Singapura selepas dikasari Marouane Chamakh pada
minit ke-42 sehingga digantikan dengan Mohd. Muslim Ahmad.
Arsenal semalam berpesta gol menerusi Aaron Ramsey
daripada sepakan penalti seawal minit kelima sebelum pemain antarabangsa
England, Theo Walcott menanduk masuk gol kedua pada minit ke-36.
Arsenal menambah dua lagi jaringan pada minit ke-57
menerusi Carlos Vela daripada gerakan cantik dan Tomas Rosicky mencipta
jaringan keempat pada minit ke-90 bagi menutup kemenangan bergaya kelab dari
London itu.
Walaupun dikejutkan dengan jaringan awal Arsenal,
Harimau Malaya secara keseluruhannya bermain baik pada babak pertama.
Aksi serba pantas pemain sayap kiri negara, S.
Kunanlan banyak mendapat sorakan daripada peminat setia negara selepas acap
kali melepasi kawalan bek kanan Arsenal, Carl Jenkinson sementara Ahmad Fakri
Saarani dan Norshahrul Idlan Talaha yang menjadi gandingan pilihan Rajagobal
pula berjaya mempamerkan rentak agresif.
Namun, salah faham Mohd. Nasril Nourdin dan
pertahanan membuka ruang kepada Walcott yang berlari pantas menanduk bola ke
dalam gawang yang ternganga bagi mengukuhkan kedudukan 2-0.
Arsenal yang tidak menurunkan beberapa pemain utama
jelas mempamerkan rentak hambar pada 45 minit perlawanan tetapi segalanya
berubah apabila membawa masuk bintang-bintang mereka antaranya Andrei Arshavin,
Robin Van Persie, Samir Nasri, Carlos Vela dan Bacary Sagna.
Peminat Arsenal bersorak gembira apabila bintang
kesayangan mereka, Van Persie melangkah masuk ke padang pada minit ke-65 dan
kehadiran pemain antarabangsa Belanda itu banyak memberikan masalah kepada
pertahanan negara dengan aksi serba memukau di samping kehadiran Nasri dan
Arshavin.
Bermula detik itu, pertahanan negara beraksi dalam
keadaan kelam kabut ketika Arsenal memperagakan aksi bermutu tinggi.
Malaysia akan menentang Liverpool pada Sabtu ini.
SUMBERArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0714&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5eYN6GCi1
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan