ARKIB : 30/05/2011
K. Rajagobal
Pemain skuad kebangsaan menjalani latihan pada hari
pertama di FAM Kelana Jaya, semalam sebagai persiapan menentang Hong Kong,
Jumaat ini. - UTUSAN/ZAINI HUSIN
PETALING JAYA - Jurulatih negara, K. Rajagobal
enggan menaruh harapan tinggi kepada penyerang utama negara, Safee Sali mahupun
penjaring terbanyak Liga Super, Abdul Hadi Yahya untuk menyerlah pada
perlawanan persahabatan menentang Hong Kong, Jumaat ini.
Katanya, mereka tidak perlu didesak melakukan
sesuatu yang berlebihan selagi keserasian dan kriteria pasukan yang mahu
dilihatnya di kalangan 24 orang yang dipanggil dalam tempoh latihan lima hari,
belum dicapai.
"Saya tidak mahu menekan mereka dalam tempoh
sesingkat ini. Kita hanya perlu ada kriteria dan keserasian tertentu bagi
sebuah perlawanan persahabatan antarabangsa walaupun ia masih tidak
mencukupi," katanya di Wisma FAM, Kelana Jaya, semalam.
Safee yang mencipta nama dengan Pelita Jaya setelah
menyerlah sebagai penjaring terbanyak dan membantu Malaysia menjulang Piala
Suzuki AFF 2010, hanya akan menyertai sesi latihan mulai hari ini kerana baru
diberi pelepasan kelab Indonesia itu, semalam.
Dua lagi pemain, Baddrol Bakhtiar dan Amar Rohidan
turut hanya akan mula melapor diri hari ini kerana masih dalam perjalanan
selepas membantu Kedah menewaskan Terengganu 1-0 pada perlawanan Liga Super di
Kuala Terengganu, kelmarin.
Namun, tujuh pemain terpaksa dilepaskan bagi
persediaan bawah 22 tahun menghadapi Kelayakan Olimpik 2012 di bawah bimbingan
Ong Kim Swee iaitu Khairul Fahmi Che Mat, Ahmad Fakri Saarani, Muslim Ahmad,
Fadhli Shas, Mahalli Jasuli, K. Gurusamy dan Izzaq Faris Ramlan.
Rajagobal turut menolak untuk mendapatkan
sekurang-kurangnya satu perlawanan persahabatan dengan mana-mana pasukan
tempatan sebagai medan pemilihan 22 pemain negara sebelum mereka berlepas ke
Hong Kong, Rabu ini.
"Menentang Hong Kong juga dapat membantu saya
mengenal pasti barisan pemain terbaik bagi misi yang lebih penting, pusingan
pertama Kelayakan Piala Dunia 2014 menentang Taiwan secara timbal balik pada 29
Jun dan 3 Julai ini," katanya.
Anak buah Rajagobal sudah melalui dua persahabatan
sejak bergelar juara Piala Suzuki AFF dengan menewaskan Hong Kong 2-0 dan
diikat 1-1 oleh kelab Perancis yang beraksi dalam Liga Singapura, Etoile,
masing-masing pada 9 Februari dan 26 Mac lalu.
SKUAD NEGARA
Sharbinee Allawee Ramli, Nasril Nourdin, Syed Adney
Syed Hussein (penjaga gol), Aidil Zafuan Radzak, Asraruddin Putra Omar, Azmi
Muslim, Nasriq Baharom, Hisyamudin Shaari, Helmi Remeli, Shahrom Kalam,
Farisham Ismail (pertahanan), Safiq Rahim, Amar Rohidan, Azidan Sarudin, S.
Kunanlan, Ashari Samsudin, S. Chanturu, Amirulhadi Zainal, Baddrol Bakhtiar,
Ismail Faruqi Ashari (tengah), Norshahrul Idlan Talaha, Safee Sali, Shahrizal
Saad, Abdul Hadi Yahaya (penyerang).
sumberArtikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0530&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz5eLScaNrU
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan