Isnin, 4 Februari 2019

Safiq janji lawan habis-habisan


ARKIB : 23/07/2011
SINGAPURA - Setinggi mana jangkaan yang diletakkan peminat kepada skuad bola sepak negara, kapten Harimau Malaya, Safiq Rahim mengakui bersedia menggalas harapan itu.

Tidak wujud perasaan tertekan atau bimbang, sebaliknya Safiq berjanji akan berjuang habis-habisan menggempur kubu tuan rumah, Singapura di Stadium Jalan Besar, hari ini.

''Tekanan daripada peminat untuk melihat kami mencapai kemenangan dalam setiap perlawanan memang tinggi dan ia tidak boleh dinafikan.

''Namun, kami pernah hadapi situasi yang sama sebelum ini dan ia ternyata bukan satu perkara yang asing buat saya serta rakan-rakan.

''Apa yang saya boleh berikan hanyalah komitmen sepenuhnya menjelang perlawanan penting berdepan Singapura pada malam esok (hari ini) dan membawa Malaysia mampu melangkah jauh dalam saingan kelayakan kali ini," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Turut berada pada sidang akhbar itu adalah jurulatih skuad negara, Datuk K. Rajagobal, jurulatih Singapura, Radojka Avramovic serta Shahril Ishak, kapten pasukan Singapura.

Jelas Safiq, dia menganggap perhitungan dengan Singapura antara detik paling penting dalam kariernya sepanjang menyarung jersi skuad kebangsaan.

''Saya mahu membawa Malaysia mara ke peringkat seterusnya, itu sasaran peribadi saya pada kali ini dengan mengatasi pasukan Singapura," ujarnya penuh bersemangat.

Pemain tengah Selangor ini juga mahu rakan sepasukan sentiasa positif sebagaimana mereka mampu bangkit selepas kalah besar 5-1 kepada Indonesia pada perlawanan sulung di Piala AFF 2010 sebelum bangkit bergelar juara.

''Kami semua pernah hilang keyakinan pada satu ketika tetapi atas semangat berpasukan, kami berazam tidak mahu perkara itu berulang lagi," katanya
SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0723&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz5eZyvzMiy
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan